Oleh Siti Fatimah Ishak
29 Jamadil Akhir – Amat malang dan sedih sekiranya berlaku ketirisan dalam agensi kerajaan atau syarikat vendor yang dilantik oleh pihak kerajaan.
Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan serbuan dan pemeriksaan mengejut ke Puspakom susulan beberapa kes kemalangan membabitkan kenderaan berat kebelakangan ini.
Op Mengejut Puspakom di seluruh negara itu dilakukan tanpa pemakluman awal kepada Puspakom.
Hasilnya dalam operasi di Puspakom Wangsa Maju, JPJ telah mengeluarkan 69 notis saman setelah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori, manakala 29 kenderaan telah diambil tindakan.
Mengulas perkara itu, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang berkata, dalam isu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu mengambil tindakan segera dengan menyiasat Puspakom kerana ia melibatkan nyawa rakyat dan pengguna jalan raya.
Bahkan siasatan perlu dilaksanakan juga terhadap JPJ dan penguatkuasa yang terlibat dengan Puspakom.
“Kecenderungan tinggi berlakunya rasuah dan salah laku adalah di kalangan mereka yang terlibat dalam memberikan kelulusan, permit atau tender,” katanya.
Justeru, beliau berharap SPRM bertindak dengan pantas dan efisyen dalam menjaga integriti jabatan awam dan agensi kerajaan terutamanya yang melibatkan keselamatan awam dan nyawa rakyat.
“SPRM adalah agensi kerajaan yang dibayar oleh cukai rakyat dan kita tahu kakitangan SPRM adalah terhad.
“Oleh itu kita berharap dapat SPRM merancang pengurusan dengan efisien termasuk mendahulukan kepentingan nasional, bukan kepentingan luar,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI