Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 16 Rejab — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan laporan media mendakwa syarikat pengeluar sandwic ‘ham and cheese’ di KK Mart memiliki sijil halal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata dakwaan Shake And Bake Cafe itu tidak benar selepas pemeriksaan dijalankan minggu lalu.
“Produk ‘Ham and Cheese Sandwich‘ berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook JAKIM semalam.
Shake And Bake Cafe mendakwa bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan sandwic itu memiliki pensijilan halal daripada JAKIM.
Katanya, penghasilan sandwic itu menggunakan roti, keju dan kepingan daging ayam yang diperakukan halal oleh JAKIM.
Sirajuddin berkata mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh ditanda dengan halal selagi tiada pengesahan daripada pihak berkuasa pensijilan halal Malaysia.
Katanya, penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal selagi tidak memenuhi piawaian dan prosedur pensijilan halal Malaysia.
“Ia merangkumi aspek pengendalian, penyediaan dan pemprosesan secara keseluruhan.
“Oleh itu, JAKIM menggesa pengusaha supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang diguna pakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/