BANGI, 21 SYAABAN – PAS kini muncul antara parti yang dominan dalam politik negara dengan budaya politik yang dibawa dalam perjuangan parti itu semakin diterima masyarakat.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata keadaan itu berlaku hasil pelbagai faktor seperti integriti, keterbukaan, kebersamaan dan toleransi yang ditunjukkan oleh parti itu.
Menurutnya, masyarakat bukan sahaja semakin dekat dengan PAS, malah hingga ke peringkat mengundi parti itu dalam pilihan raya.
“Ini bermakna PAS sudah diterima oleh masyarakat dan akan menjadi sebahagian daripada parti politik yang besar di Malaysia.
“Saya rasa keadaan politik secara perlahan sedang berubah. Kalau sebelum ini, mungkin sebahagian orang akan kata, PAS tidak sesuai, ekstrem dan sebagainya.
“Namun senario itu sudah jauh berubah kerana amalan politik PAS yang sangat bersih dengan integriti dan juga kesaksamaan masyarakat, PAS dilihat antara yang terbaik,” katanya ketika merasmikan Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Bangi di sini, semalam.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, penerimaan rakyat juga kerana mereka melihat perjuangan PAS yang konsisten.
“Masyarakat melihat PAS sebagai antara parti yang konsisten memperjuangkan hak dan keadilan serta antara parti yang `walk the talk’ (menunaikan janji). Apa yang dia cakap, dia buat. Jadi saya nampak perubahan dalam pandangan masyarakat melihat PAS,” katanya.
Sementara itu, katanya misi besar PAS seperti parti lain adalah untuk dominan dalam jumlah kerusi parlimen dan dalam suasana sekarang, setiap parti sedang membuat pertimbangan mengenal pasti kawasan yang terbaik untuk ditandingi.
“Strategi seumpama itu dilakukan oleh semua parti politik, pastilah masing-masing mahu jadi parti yang sangat dominan dalam politik Malaysia,” katanya.
Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, katanya PAS sentiasa bersedia, malah aktiviti di peringkat cawangan dan kawasan sentiasa hidup sepanjang masa.
“Cuma apabila sampai masanya, ditiupkan semangat untuk semakin lebih bersemangat menghadapi pilihan raya,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi