Dr Ong Kian Ming saran ampun Najib, gugur kes Guan Eng, Muhyiddin

BANGI, 3 REJAB – Pemimpin DAP, Dr Ong Kian Ming, menyarankan sudah tiba masa, iaitu pada tahun 2026 untuk memulakan perbincangan serius mengenai kemungkinan memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ketika penampilan pertamanya dalam program podcast `Keluar Sekejap’ pada Mei 2023, menyatakan bahawa pemberian pengampunan penuh kepada Najib merupakan satu `garisan merah’ bagi DAP.

“Namun, selepas lebih dua tahun berlalu, khususnya selepas keputusan Dilepas Tanpa Dibebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 4 September 2023, saya semakin kurang pasti tentang kewujudan `garisan merah’ tersebut. 

“Malah, pandangan saya sendiri telah dipengaruhi oleh cadangan `pengampunan besar-besaran’ yang pertama kali dikemukakan oleh Khairy Jamaluddin (KJ) pada 20 Ogos 2023, dalam satu episod `Keluar Sekejap’,” katanya dalam hantarannya di Facebook.

Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, cadangan itu bukan sahaja merangkumi pengampunan penuh kepada Najib yang mungkin selepas kes 1MDB yang masih berjalan diselesaikan.

Malah, beliau mencadangkan pengguguran kes-kes yang sedang berjalan terhadap Lim Guan Eng (Penasihat DAP) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional), penarikan balik rayuan kerajaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar) serta usaha menjejaki aset Allahyarham Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan). 

Katanya, langkah ini akan membuka ruang kepada apa yang KJ gelar sebagai satu `penetapan semula politik’, agar dapat menghentikan amalan memburu musuh politik menggunakan jentera negara setiap kali sesuatu pihak mendapat kuasa.

“Dalam pemikiran saya yang mungkin naïf dan idealistik, saya berharap ini boleh menjadi sebahagian proses menuju kematangan politik yang lebih besar, sesuatu yang amat diperlukan oleh negara,” katanya.

Sementara itu, katanya tiada sebab untuk `meraikan’ atau `menabur garam ke atas luka’ berhubung penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kes Titah Adendum  dengan Najib telah menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara, bermula 23 Ogos 2022. 

Media sebelum ini melaporkan tindakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan kes Titah Adendum.

Dalam hantaran di media sosial, Ahli Parlimen Puchong menulis: “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini.”

Kian Ming mengingatkan bahawa Malaysia sudah cukup berpecah akibat politik perkauman dan keagamaan, termasuk selepas rombakan Kabinet baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya tidak perlu ditambah lagi “minyak ke dalam api” dengan membuat kenyataan atau mengeluarkan pandangan yang berpotensi membangkitkan sentimen demikian dalam kalangan pelbagai komuniti. 

“Kenyataan demikian bukan sahaja kelihatan “tidak peka”, malah mengabaikan perasaan ramai dalam kalangan masyarakat Melayu, yang walaupun tidak semestinya menyokong tindakan Najib berkaitan 1MDB, tetap tidak mahu melihat seorang bekas Perdana Menteri dihina.

“Apatah lagi menyaksikan pemimpin politik dari parti yang kebanyakannya sudah pun mereka tidak gemari, `meraikan’ keputusan mahkamah itu secara terbuka di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, tindakan `meraikan’ bukan sahaja melemahkan keupayaan Kerajaan Madani untuk berfungsi secara berkesan bagi baki tempoh pentadbiran dalam tempoh dua tahun akan datang, malah mengancam kebarangkalian mencapai persefahaman pilihan raya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Malah, katanya tidak mustahil, ini mungkin antara faktor yang mendorong BN mencari kerjasama lebih rapat dengan Perikatan Nasional menjelang pilihan raya akan datang, sekali gus merugikan PH dan penyokongnya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

JAKIM panggi lelaki Islam sertai ‘Interfaith Water Ceremony’

Next Post

Walaupun marah, UMNO sebenarnya penyokong kuat DAP – Tun M

Related Posts