Budaya ‘persaingan’ merosakkan sistem pendidikan negara

BANGI, 1 JAMADILAWAL – Budaya membandingkan prestasi atau pencapaian pelajar sekolah dilihat menjadi antara punca sistem pendidikan negara tidak mencapai matlamatnya, demikian menurut pandangan Dr Anuar Ahmad.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sikap untuk membina persaingan sehingga ia menjadi satu budaya telah ‘menjangkiti’ sistem pendidikan sejak sekian lama yang mana ia mewujudkan tekanan kepada semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan pelajar.

Katanya, situasi ini menyebabkan matlamat asal pendidikan gagal mencapai tujuannya iaitu melahirkan generasi yang bijak dengan memperkasakan ilmu sedia ada untuk dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Mengapa kita nak bandingkan anak-anak tahun lepas dengan tahun ini. Masing-masing mempunyai keupayaan sendiri.

“Jadi, apabila kita mansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3 sebab dikatakan itu sebagai alat yang menekan anak-anak, menyebabkan anak-anak yang lemah itu terbeban, psikologi mereka terganggu.

“Bukan pendidikan yang menyebabkan benda itu berlaku. Kitalah yang membina budaya itu. Jadi, betulkan diri sendiri. Bukannya mansuhkan peperiksaan. Ibu bapa, guru-guru, pengetua, guru besar, pejabat pendidikan, semua betulkan diri,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, peperiksaan seperti UPSR dan PT3 sewajarnya dijadikan sebagai alat ukur bagi untuk mengenal pasti tahap pelajar dalam pendidikan agar tindakan dapat diambil untuk membantu mereka memperbaiki kelemahan.

Beliau berkata, manakala pelajar yang meraih keputusan cemerlang pula diberikan pendekatan pengayaan ilmu seperti memperbanyakkan bahan bacaan supaya pengetahuan mereka dapat dipertingkatkan pada tahap yang lebih tinggi.

“Tujuan kita ialah memulihkan supaya mereka (yang lemah membaca) boleh membaca dengan baik. Tujuan pentaksiran bukan untuk menunjukkan bahawa anak yang hebat membaca itu (diumum) paling hebat. 

“Maka (pelajar) diberikan gred A dijulang dibuat pengumuman dan sebagainya. Itu bukan tujuan pendidikan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, budaya persaingan juga dilihat menjadi antara faktor pihak sekolah menjadi ‘obses’ untuk mempertahankan nama baik sekolah.

Katanya, situasi ini akan mendorong cubaan untuk menyembunyikan kes-kes yang berlaku di sekolah bagi memastikan reputasi sekolah itu tidak ‘tercemar’ di khalayak umum.

“Bukan sahaja Perdana Menteri mengesahkan tetapi juga Ketua Pengarah Pendidikan yang menyatakan dalam tempoh 3 bulan memegang jawatan itu, banyak kes telah disembunyikan di bawah karpet.

“Maksudnya, ada kes tetapi tak diangkat ataupun diselesaikan. Isu yang sama, nak jaga reputasi, menganggap kes itu kes kecil, tak serius dan sebagainya.

“Akhirnya apabila berlaku keadaan yang mana kita terkejut dengan kes-kes besar seperti membunuh, merogol, membuli dan sebagainya, barulah semua orang terlantar atau menjadi terkejut,” ujarnya.

Tegas beliau, situasi ini yang dimaksudkan sebagai budaya pemikiran yang menganggap pendidikan sebagai persaingan atau perniagaan yang mana segala bentuk kelemahan akan cuba disembunyikan.

Anuar berkata, ini yang sebenarnya merosakkan sistem pendidikan negara.

“Keuntungan dalam konteks ini ialah nama baik, reputasi, naik pangkat dan sebagainya.

“Akhirnya apa yang berlaku adalah kita akan hilang tujuan sebenar pendidikan. Pendidikan bukan persaingan. Pendidikan adalah untuk membina anak-anak kita supaya mereka boleh hidup dalam ruang bekerjasama dan membina kerangka cara hidup yang lebih harmoni,” tambah beliau.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel wajib benarkan bantuan ke Gaza, tidak guna kebuluran sebagai senjata perang: ICJ

Next Post

Parlimen Israel beri kelulusan pengilhakan Tebing Barat yang diduduki

Related Posts