Ada IC tetapi tak fasih cakap bahasa kebangsaan ibarat jadi ‘warganegara palsu’

BANGI, 17 RABIULAKHIR – Rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan tetapi tidak fasih bahasa kebangsaan ibarat menjadi warganegara palsu, kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, situasi ini membuktikan masih ada dalam kalangan warga tempatan yang masih terperangkap dengan pemikiran kolonial.

Katanya, ini secara umumnya mendorong terhadap tanggapan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang kolot, tidak boleh berkembang dan bersifat primitif.

“Oleh itu, ini juga adalah salah pihak berkuasa kerana tidak melaksanakan dengan tegas penggunaan bahasa Melayu.

“Kita berpandukan kepada Perlembagaan dan kita kata ini sudah diperuntukkan dalam Perlembagaan, tetapi ini sahaja tidak mencukupi. Perlu ada undang-undang kecil untuk dilaksanakan,” katanya kepada TV Pertiwi.

Menurut beliau, kegagalan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan sebenarnya dilakukan tanpa disedari semua terutama melibatkan perkara-perkara kecil.

Prof Murad menyenaraikan beberapa contoh seperti penggunaan lif, mesin pengeluaran duit (ATM) dan pemaparan papan tanda iklan yang dilihat lebih cenderung kepada penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris berbanding bahasa Kebangsaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi ini adalah hasil daripada sistem pendidikan negara sendiri yang tidak serius menggalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

“Kelemahan paling besar ialah kita tidak nampak ‘gajah depan mata’ iaitu sistem pendidikan. Itu sahaja.

“Sistem pendidikan mesti menjurus kepada sekolah satu aliran, bukan tiga aliran, bukan jenis kebangsaan dan bukan sekolah swasta.

“Tetapi negara kita telah membenarkan kewujudan dua negara bangsa di Malaysia. Satu negara bangsa yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantara di sekolah manakala satu lagi ialah negara bangsa yang tidak menggalakkan perkara tersebut,” katanya lagi. 

Tambah beliau, ini antara sebab mengapa negara ini tidak perlu ada sekolah jenis kebangsaan serta menolak UEC.

“Kewujudan sekolah UEC ini mungkin hanya membabitkan 5-6% (daripada rakyat Malaysia, tetapi jumlah ini sebenarnya besar.

“Yang 5-6% ini akan wujud sebagai warganegara palsu di Malaysia kerana tidak tahu bercakap dan baca dalam bahasa Melayu tetapi memiliki kad pengenalan,” ujar beliau.

Tambahnya, ini membuktikan bahawa pemimpin negara sememangnya tidak tegas atau memberi perhatian serius dalam isu ini sejak negara Merdeka pada 1957.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Sokong perjuangan TV Pertiwi dan langgan: https://tvpertiwi.com/eksklusif/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Zaliha kekal pendirian Kampung Sungai Baru bukan kawasan MAS, rizab Melayu

Next Post

Belanjawan 2026: Cukup sudah retorik, rakyat mahu perubahan

Related Posts