BANGI, 15 RABIULAKHIR – Orang Melayu tidak pernah menjadi ‘pendatang’ dan pihak yang membuat dakwaan sedemikian jelas sekali tidak memahami sejarah negara atau rantau ini, kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, untuk memahami perkara itu, orang ramai perlu ketahui terlebih dahulu maksud disebalik nama Malaysia di rantau ini serta identitinya sebagai negara bangsa.
Menurut beliau, istilah Malaysia yang merujuk kepada pulau-pulau Melayu sebenarnya telah wujud dalam peta-peta abad ke-17 yang dilakarkan oleh orang Itali dan Perancis yang mana namanya ditulis sebagai Malesia.
Malah, beliau berkata, istilah kepulauan Melayu juga digunakan oleh sarjana dan sejarawan Amerika sejak 1800 dalam beberapa buku sejarah sebagai merujuk ke rantau ini.
“Dalam sejarah Britain, mereka menyebut Malaya, mereka tidak sebut Malaysia. Yang menggunakan istilah Malaysia selain daripada Perancis dan Itali ialah sarjana dan sejarawan Amerika.
“Malaysia. ‘Sia’ dalam bahasa Latin merujuk kepada pulau. Jadi Malaysia yang disebut dari abad ke-17 itu merujuk kepada rantau Melayu sebelum negara bangsa Malaysia diwujudkan.
“Jadi, itu adalah identiti. (Ini menunjukkan) identiti Malaysia telah wujud berkurun lamanya,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Prof Murad berkata, kewujudan identiti ini juga diperkukuhkan dalam kalangan para sarjana yang memerhati dan mengkaji intipati Melayu di rantau ini termasuk daripada aspek bahasa yang dipertuturkan.
Menurut beliau, asal usul identiti Melayu itu telah wujud sekitar 2,000 hingga 3,000 menerusi prasasti batu-batu bersurat seperti yang dikaitkan dengan Kedah Tua, di Sumatera dan Pulau Borneo.
Jelas Prof Murad, meskipun ia ditulis dalam huruf kawi atau jawa kuno selain penemuan skrip huruf palava dan nagari yang berasal dari India, namun bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu.
“Jadi jangan kita keliru di antara skrip dan bahasa. Ia bukan bahasa tamil ataupun bahasa sanskrit. Skrip itu bahasa Melayu. Jadi itulah asal usul bahasa Melayu dan itu merupakan kewatanan rantau ini.
Malaysia sebagai negara bangsa.
Mengulas mengenai satu lagi perspektif identiti Malaysia sebagai negara bangsa, Prof Murad berkata, idea itu sebenarnya mula tercetus sejak 1948 sebelum ia direalisasikan menerusi pembentukan sebuah negara antara Malaya, Sabah, Sarawak – dan Singapura untuk seketika waktu.
Beliau berkata, idea itu dicetuskan oleh Allahyarham Tun Ghazali Syafie ketika beliau sedang melanjutkan pelajaran di University of Wales di Aberystwyth yang mana beliau mengkaji undang-undang Welsh, Inggeris dan Scottish.
“Justeru, beliau mendapati terdapat tiga sistem undang-undang yang wujud dalam satu entiti dengan konsep Persekutuan dan beliau menasihati Tunku Abdul Rahman – Perdana Menteri Malaysia pertama.
“Ini permulaan kepada Malaysia sebagai negara bangsa. Istilah Malaya antara 1957-1963 itu sebenarnya bermaksud Malaysia dan intipati induk Malaya itu ialah Malaysia ataupun gagasan Malaysia yang muncul dalam sejarah, budaya dan geografi pada abad ke-16, ke-17 itu induknya ialah Semenanjung (Malaysia).
“Dari situ kita dapat lihat bahawa induk Malaysia ialah orang Melayu sebab orang Melayu telah wujud di ‘dunia’ ini dan tidak pernah menjadi pendatang.
“Ini penting sebab apabila dikatakan orang Melayu sama pendatang seperti Cina dan India, itu tak betul,” jelas beliau.
Justeru, Prof Murad berkata, sebelum wujudnya unit-unit politik di rantau ini, telah wujud entiti geografi, sejarah, budaya sebagai satu gagasan kolektif memori, pengalaman antara rumpun Melayu di kepulauan Melayu.
“Apabila (rantau) ini diduduki oleh bangsa Melayu, maka kita tak boleh katakan bahawa orang dari Jawa telah merentasi Indonesia ke Malaya.
“Mereka merantau bukan hanya orang Minangkabau, orang Jawa, orang Bugis, tetapi terdapat satu rangkaian perantauan dalam ruang geografi kepulauan Melayu. Itulah tanah air,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi