BRUSSELS, 12 RABIULAWAL – Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, mengumumkan bahawa negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pendirian ini, sekali gus akan menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel selepas langkah serupa diambil oleh Australia, Britain, Kanada dan Perancis.
Ketika kritikan global semakin memuncak terhadap kekejaman Israel di Gaza, rejim Zionis berang dengan janji beberapa pihak untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada sidang kemuncak sempena acara PBB bulan ini.
Belgium akan menyertai penandatangan Deklarasi New York yang membuka jalan ke arah penyelesaian dua negara, iaitu sebuah negara Palestin wujud bersama secara aman di sisi Israel, kata Prevot dalam satu hantaran di platform X.
Keputusan itu dibuat “berdasarkan tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin, terutama di Gaza, dan sebagai tidak balas terhadap keganasan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Belgium juga akan mengenakan 12 sekatan terhadap Israel, termasuk larangan mengimport produk dari penempatan haram, semakan dasar perolehan awam dengan syarikat Israel serta mengisytiharkan pemimpin Hamas sebagai persona non grata di Belgium, kata Prevot.
Rakyat Palestin sekian lama berusaha menubuhkan sebuah negara di Tebing Barat yang diduduki Israel dan Gaza, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara. Amerika Syarikat pula menegaskan negara itu hanya boleh diwujudkan melalui rundingan terus antara Israel dan Palestin.
Belgium sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU), mengambil keputusan ini untuk meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Israel dan Hamas, jelas Prevot.
Pada 2024, mahkamah tertinggi PBB memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, serta penempatan yang dibangunkan adalah haram dan perlu ditarik balik secepat mungkin.
Israel pula berhujah bahawa wilayah itu bukan “diduduki” dari segi undang-undang kerana ia terletak di tanah yang dipertikaikan, namun PBB dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggapnya sebagai wilayah jajahan. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi