BANGI, 10 SAFAR – Bilangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dibuang kerja tahun lalu kerana terbabit dalam salah laku rasuah di pintu masuk negara, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat tiga kali ganda tahun lalu.
Seramai 26 orang dibuang kerja mengikut Peraturan 37 pada 2024, berbanding hanya lapan pegawai yang dikenakan tindakan sama pada tahun 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada tahun lalu juga, seramai 50 pegawai JIM disiasat berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket ‘phantom travel’ seperti yang dilaporkan secara meluas oleh media.
Menurutnya, semua kes terbabit ditangani oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan dua kes sudah dihadapkan ke mahkamah dan baki kes, ada yang disyorkan oleh SPRM untuk turut dituduh di mahkamah, dikenakan siasatan dalaman serta siasatan kertas tatakelola.
“Yang dilaporkan ini adalah tindakan yang telah kita ambil, tidak kira siapa sekali pun mereka sebab kita memang tidak bertoleransi terhadap perbuatan jijik (rasuah) seperti ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) berhubung status siasatan dan tangkapan terhadap pegawai JIM yang terlibat dalam kegiatan kaunter `setting’ terutama di KLIA yang dilaporkan sejak 2023.
Menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berhubung tindakan terhadap pegawai JIM yang disyaki melakukan salah laku rasuah, Saifuddin Nasution berkata, terdapat beberapa proses yang diamalkan KDN bagi menangani kes terbabit.
Jika terdapat kes prima facie membabitkan pegawai yang didakwa terbabit rasuah hasil risikan dan siasatan dalaman, pegawai berkenaan akan dirujuk kepada Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Katanya, antara tindakan yang dicadangkan termasuk amaran, denda, lucut hak emolumen, penangguhan atau penurunan gaji hingga kepada pemecatan.
“Jika ada unsur rasuah dan jenayah lain, maka siasatan dalaman agensi ini akan dirujuk kepada SPRM dan polis. Sementara siasatan itu dibuat, mereka yang terlibat akan dipindahkan ke unit atau bahagian lain yang kurang berisiko,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi