Pelantikan Ketua Pengarah AKPS: KDN percaya Shuhaily orang yang betul

BANGI, 3 SAFAR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) percaya telah meletakkan orang yang betul untuk mengetuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya,” kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata demikian berikutan kritikan sesetengah pihak berhubung pelantikan Mohd Shuhaily yang sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menerajui AKPS.

Menurut Saifuddin, beliau tidak akan melayan tohmahan berhubung pelantikan Mohd Shuhaily, malah menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah AKPS untuk menjalankan tugas dengan bebas dan tegas.

“Waktu kita buat pengumuman dulu, saya kena teruk…orang persoal kenapa pegawai yang baik dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) diletakkan untuk jaga satu agensi baharu. Sekarang dia mula tunjukkan keberkesanan kepemimpinan.

“Kemudian orang pula kata, ‘jadi Menteri KDN tak payahlah ‘hun’ (ambil nama), ini semua kerana ketangkasan Ketua Pengarah’, bukan kerana menteri letak dia situ, habis lah.

“Itu biar luncai terjun dengan labu-labunya. Saya tak mahu layan,” katanya selepas menghadiri sambutan ulang tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dataran Kulim, semalam.

Sementara itu, Saifuddin berkata, KDN sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes ‘pasport terbang’ susulan penahanan beberapa anggota penguat kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Mohd Shuhaily untuk menguruskan kes itu mengikut prosedur ditetapkan.

“Saya akan minta laporan penuh nanti daripada KP AKPS, Datuk Shuhaily. Sekarang ini baru hari ke-25 (beliau memimpin jabatan itu), biar dia uruskan dulu.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.

Suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an ditahan selepas siasatan awal mendapati terbabit dalam kegiatan ‘pasport terbang’, iaitu urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Krisis sempadan: Thailand, Kemboja runding di Putrajaya

Next Post

28 negara gesa henti perang Gaza, tapi kekal berdagang dengan Israel

Related Posts