SIAPA sebenarnya yang mengawal media hari ini? Walaupun tiada tali yang mengikat, arah tuju serta kandungan media yang disiarkan jelas menunjukkan siapa yang diberi ruang, dan siapa pula yang semakin terpinggir.
Dalam era yang kononnya digambarkan sebagai zaman media bebas dan terbuka, suara yang mempertahankan identiti Melayu dan Islam kini semakin kabur dan sukar didengar. Perbincangan mengenai isu-isu penting seperti sejarah negara, bahasa kebangsaan, institusi diraja dan hak-hak Bumiputera kerap kali disisihkan atas alasan menjaga keharmonian atau bagi mengelakkan kontroversi.
Akhirnya, suara Melayu semakin tenggelam dalam arus laporan dan naratif yang lebih menumpukan kepada sensitiviti yang dalam beberapa keadaan menghalang perbincangan terbuka terhadap isu-isu asas kenegaraan.
Hal ini memberi gambaran seolah-olah ada pihak yang ingin membisukan perbahasan yang menyentuh kedudukan Melayu-Islam dalam struktur negara.
Dalam keadaan ini, TV Pertiwi muncul sebagai sebuah platform media yang berani tampil secara terbuka membawa wacana yang jarang diberikan perhatian di media arus perdana. Walaupun pendekatan ini sering berdepan kritikan dan salah tafsir, keberanian menyiarkan pandangan berasaskan fakta dan prinsip menjadikan TV Pertiwi antara ruang penting yang masih tinggal bagi suara Melayu-Islam.
Media arus perdana hari ini dilihat semakin cenderung memilih isu-isu yang neutral, tidak sensitif dan mudah diterima oleh khalayak pelbagai latar. Pendekatan ini mungkin baik dari sudut capaian dan keuntungan, namun kesan jangka panjangnya adalah ketandusan naratif yang benar-benar menyentuh soal akar dan asas pembentukan negara.
Isu-isu berkaitan tanah rizab Melayu yang semakin berkurangan, kemerosotan penggunaan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, serta peminggiran sejarah perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh Melayu, tidak mendapat ruang sewajarnya dalam siaran berita atau program arus perdana. Ini menyebabkan bukan sahaja orang ramai, bahkan anak muda Melayu sendiri, semakin menjauh daripada memahami sejarah dan identiti mereka.
TV Pertiwi tidak dikawal oleh kepentingan komersial semata-mata. Kami tampil dengan keberanian untuk mengangkat wacana yang kurang mendapat perhatian, khususnya yang melibatkan Melayu dan Islam.
TV Pertiwi berdiri atas prinsip dan komitmen untuk mempertahankan nilai serta identiti bangsa yang semakin terhakis. Dalam suasana media yang semakin berhati-hati, keberadaan TV Pertiwi sebagai satu suara yang lantang dan berprinsip adalah amat penting.
Membincangkan isu Melayu tidak harus dilihat sebagai usaha menindas kaum lain. Sebaliknya, ia adalah usaha untuk mengisi ruang yang adil dalam sebuah negara yang majmuk. Jika kaum-kaum lain bebas menyuarakan kepentingan mereka, maka masyarakat Melayu juga berhak memperjuangkan kedudukan serta aspirasi mereka tanpa dipandang serong.
Siti Fatimah Ishak, Wartawan TV Pertiwi