BANGI, Jumaat – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengambil pendekatan diplomasi apabila berhadapan dengan kapal perang dan kapal Pengawal Pantai China di perairan negara.
Panglima Tentera Laut, Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, setakat ini, tiada sebarang konfrontasi tercetus antara kedua-dua negara di perairan Malaysia meskipun kapal dari China dikesan memasuki sempadan negara.
“Kapal pengawal pantai China tidak seperti kapal kita. Berat kapalnya adalah 5,000 tan, lebih besar daripada kapal perang kita.
“Jadi, mereka boleh berada di laut hingga 45 atau 50 hari dan konsisten berada di sana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-19 di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, tiga buah kapal pengawal pantai China dikesan berlegar-legar di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia di Laut China Selatan pada 4 September lepas.
Menurut Pemerhati Maritim Antarabangsa, Ray Powell, ketiga-tiga kapal pengawal pantai China itu yang dikesan berada di dalam perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan itu dikenalpasti CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402.
Sumber: Berita Harian
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI