Trump bayangkan rampas minyak Iran, sasar Pulau Kharg 

WASHINGTON, 10 SYAWAL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau “lebih suka” untuk “mengambil minyak” di Iran dan memberi bayangan bahawa Washington boleh merampas Pulau Kharg, sebuah hab eksport utama, ketika tentera AS memperluaskan kehadiran mereka di Asia Barat.

“Sejujurnya, perkara kegemaran saya ialah mengambil minyak di Iran,” katanya dalam temu bual bersama Financial Times, sambil membandingkan pendekatan itu dengan Venezuela yang AS berhasrat mengawal sektor minyak “tanpa had masa.”

Kenyataannya dibuat ketika harga minyak melonjak lebih 50 peratus dalam tempoh sebulan, dengan minyak mentah Brent melepasi AS$116 setong susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.

“Mungkin kita ambil Pulau Kharg, mungkin tidak. Kita ada banyak pilihan,” kata Trump sambil menambah langkah demikian “bermakna kita perlu berada di sana untuk suatu tempoh.”

“Saya tidak fikir mereka ada sebarang pertahanan. Kita boleh ambilnya dengan sangat mudah,” katanya.

Kehadiran tentera AS di Asia Barat

Pentagon telah mengarahkan penempatan 10,000 anggota tentera terlatih untuk operasi darat, dengan kira-kira 3,500 sudah tiba di rantau itu, termasuk sekitar 2,200 anggota marin, manakala pasukan tambahan sedang dalam perjalanan.

Namun, serangan ke atas Pulau Kharg boleh meningkatkan risiko terhadap tentera AS dan memanjangkan konflik.

Perkembangan terkini termasuk serangan ke atas sebuah pangkalan udara Arab Saudi yang mencederakan 12 anggota tentera AS dan merosakkan pesawat pengawasan bernilai AS$270 juta, selain pelancaran peluru berpandu balistik ke arah Israel oleh pasukan Houthi dari Yemen.

Walaupun ketegangan meningkat, Trump berkata rundingan tidak langsung dengan Iran melalui “wakil” Pakistan sedang berjalan dan menambah: “Perjanjian boleh dicapai dengan agak cepat.”

Beliau turut mendakwa, Iran telah membenarkan 20 kapal tangki minyak menggunakan bendera Pakistan melalui Selat Hormuz, dengan menyatakan: “Mereka beri kita 10. Sekarang mereka beri 20.”

Ketegangan serantau berterusan sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan penerbangan. – TRT WORLD 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gelombang ‘No Kings’ gegar AS, jutaan rakyat bangkit bantah Trump

Next Post

Parti Melayu makin banyak, kuasa makin terhakis

Related Posts