BANGI, 5 SYAWAL – Baru-baru ini, aktivis masyarakat, S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu sistem pangkalan data untuk mengenal pasti status rumah anutan di negara ini.
Sistem itu bagi memudahkan kerajaan untuk mengambil langkah seterusnya sama ada rumah anutan itu boleh ‘diselematkan’ atau dirobohkan kerana dibina secara haram di atas tanah milik pihak atau individu lain.
Sudah tentu ini idea yang baik kerana ia dilihat sebagai usaha untuk menamatkan konflik melibatkan binaan rumah anutan haram yang dilihat telah mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
Namun begitu, tahukah anda bahawa sistem pangkalan data ini sebenanrya sudah wujud pada tahun lepas dibangunkan oleh aktivis dan pejuang isu tanah negara, Tamim Dahri yang menamakan platform itu sebagai tanahmalaya.com.
Sebelum dilancarkan, Tamim pernah menceritakan inisiatif itu kepada penulis sekitar September 2025 yang mana beliau menyatakan mahu membangunkan sebuah platform untuk menghimpunkan data berkaitan rumah anutan di seluruh negara.
Menerusi platform itu, kita boleh melihat keberadaan rumah anutan mengikut kategori sempadan negeri, daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).
Konsep ini dibuat supaya kita termasuk pihak berkuasa boleh kenal pasti status rumah anutan sama ada ia dibina secara haram atau tidak.
Data-data yang dikumpul itu juga diperolehi menerusi pelbagai sumber termasuk data rasmi dan makluman orang awam.
Sebaik meneliti nama pemilik tanah – yang turut disertakan dalam platform itu – maka boleh disahkan sama ada berlakunya pencerobohan tanah. Itu adalah matlamat asal platform tersebut.
Menurut Tamim, idea untuk membangunkan platform itu selepas sistem pengurusan aduan awam (SISPAA) terbukti tidak berkesan menangani isu ini.
Antara insiden yang dihadapi ialah apabila dia membuat aduan mengenai kewujudan sebuah kuil haram pada tahun lepas yang mana maklum balas diterima membuktikan kegagalan sistem itu sendiri.
Tamim menjelaskan, selepas tempoh tertentu, aduan yang dibuat itu telah mencapai status ‘selesai’ sedangkan realiti membuktikan sebaliknya. Menurutnya, kuil haram yang dilaporkan itu langsung tidak berdepan sebarang tindakan dan masih beroperasi.
Disebabkan situasi ini, Tamim merasakan ada keperluan untuk mewujudkan satu pangkalan data untuk menunjukkan betapa seriusnya masalah binaan rumah anutan haram di negara ini.
Tamim secara berulang kali menjelaskan bahawa data yang ditunjukkan itu langsung tidak ‘menyasarkan’ rumah anutan yang dibina secara sah tetapi ingin mendedahkan lokasi binaan haram bagi memudahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Menariknya, usaha ini telah mendapat sambutan meriah apabila orang ramai turut berlumba-lumba berkongsikan data keberadaan rumah anutan haram, sekali gus menunjukkan bahawa masyarakat mahukan tindakan segera daripada pihak berkuasa.
Malah, penulis juga telah diberi kesempatan untuk mengikuti Tamim berjumpa dengan beberapa pemimpin termasuk Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah untuk menunjukkan fungsi pangkalan data tersebut.
Penulis yang hadir pada mesyuarat itu turut menjadi saksi bahawa pangkalan data yang dihasilkan Tamim ini mendapat pujian dan disahkan bahawa tiada mana-mana agensi kerajaan di negara ini mempunyai inisiatif untuk mengambil pendekatan sama.
Pada masa sama, Tamim juga menjelaskan bahawa sistem pangkalan data itu juga akan dikembangkan menjadi platform pengumpulan data tanah wakaf di seluruh negara.
Ini supaya pemberian tanah wakaf kepada Majlis Agama Islam Negeri direkodkan secara rasmi dan tiada isu waris menuntut semula tanah tersebut kerana ketiadaan dokumen.
Selepas masuk tahun 2026, isu binaan rumah anutan haram dilihat semakin ‘meleret’ apabila pihak tidak bertanggungjawab cuba mengalihkan perhatian dan mengaitkan isu ini sebagai perkauman dan agama.
Sehingga satu tahap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat akaun media sosial individu seperti Tamim termasuk laman portal Tanah Malaya.
Pada satu tahap, penulis boleh faham tindakan SKMM menyekat akaun media sosial Tamim, namun apa yang menjadi persoalan besar ialah mengapa sistem pangkalan data Tanah Malaya turut disekat?
Platform itu bukannya digunakan untuk menyebarkan sebarang agenda negatif atau menghasut rakyat membenci kerajaan, sebaliknya ia hanyalah satu sistem pangkalan data yang mengumpulkan maklumat berkaitan rumah anutan.
Melangkah ke hadapan, Cikgu Chandra kini tampil secara terbuka mencadangkan inisiatif yang sama dilakukan kerajaan supaya isu binaan rumah anutan haram ini dapat diselesaikan segera.
Kini, penyelesaian sudah diberikan, terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan.
Oleh: Azzman Jamal, wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi