PRU-16 tahun ini? Biar betul, tetapi dalam politik semua boleh jadi!

BANGI, 3 SYAWAL – Spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal semakin hangat diperkatakan walaupun tempoh penggal Parlimen masih berbaki hingga November 2027.

Beberapa penganalisis politik meramalkan bahawa pilihan raya mengejut mungkin berlaku. Beberapa pihak mencadangkan sekitar pertengahan tahun ini atau lebih tepat pada Jun depan. Benar atau tidak, tiada siapa yang tahu. Apa pun, mari kita teliti isu ini. 

Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih memegang mandat yang stabil. Namun, sejarah PRU Malaysia menunjukkan bahawa pilihan raya pernah diadakan sebelum tamat tempoh lima tahun seperti pada 1974, 1978, 1982, 1995, 1999 dan 2004. Ini menunjukkan bahawa PRU awal bukan sesuatu yang mustahil dalam politik Malaysia.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berpendapat bahawa suku keempat tahun 2026, iaitu sekitar Oktober hingga Disember, adalah tempoh optimum untuk PRU awal. Tempoh ini sejajar dengan kitaran Pilihan Raya Negeri (PRN) dan dapat memanfaatkan ‘feel-good factor’ ekonomi negara.

Beliau juga menyatakan bahawa mengadakan PRU pada suku kedua tahun ini, termasuk bulan Jun, mungkin terlalu awal memandangkan kerajaan masih mempunyai mandat stabil untuk melaksanakan agenda mereka.

Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mencadangkan April 2026 sebagai bulan paling sesuai untuk pilihan raya mengejut.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, menyoroti beberapa faktor yang menyokong pandangan ini. Antaranya termasuk pelbagai bantuan kerajaan kepada rakyat seperti pelarasan gaji penjawat awam, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) one-off RM100, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), serta bantuan kewangan RM500 kepada penjawat awam.

Selain itu, tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap rasuah dan kestabilan ekonomi serta politik turut menjadi faktor. Beliau berpendapat bahawa ‘wow factors’ mungkin akan merosot jika ditunggu lebih lama.

Khabar angin mengenai PRU awal juga dikaitkan dengan desakan untuk menyelaraskan PRU dan PRN Melaka, Johor dan Sarawak bagi tujuan penjimatan kos dan logistik. Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka berakhir November 2026, Sarawak Disember 2026 dan Johor, Februari 2027 

PRU awal tidak akan diadakan jika tindakan itu tidak memberi manfaat kepada parti yang memerintah. Namun perkiraan politik untuk membuat keputusan ini bergantung kepada beberapa faktor seperti sentimen rakyat, kestabilan politik dalaman parti, dan keberkesanan strategi kempen.

Secara umum, blok politik utama akan menghadapi potensi keuntungan dan risiko yang berbeza.

Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi besar untuk mendapat keuntungan jika PRU diadakan lebih awal pada tahun ini. Mereka dapat memanfaatkan ‘feel-good factor’ ekonomi yang wujud hasil kenaikan gaji dan bantuan seperti STR serta SARA, selain mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam kalangan parti pembangkang.

Namun, mereka juga berdepan risiko serangan isu kos sara hidup dan kesan rasionalisasi subsidi yang mungkin belum stabil sepenuhnya, selain keadaan ekonomi yang dijangka sukar diramalkan berikutan krisis di Asia Barat.

Bagi blok pembangkang, terutama Perikatan Nasional (PN), PRU mungkin dilihat sebagai peluang untuk meraih undi protes jika sentimen anti-kerajaan memuncak akibat isu ekonomi.

Bagaimanapun, mereka menghadapi cabaran besar akibat perpecahan dalaman, seperti konflik dalam Bersatu dan pertembungan pendekatan dalam PAS, serta ketiadaan naratif alternatif yang kukuh.. Jika mereka gagal menyelesaikan isu-isu dalaman dan menampilkan barisan yang bersatu, PRU awal mungkin tidak menguntungkan mereka. 

Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Borneo dijangka akan mengukuhkan kedudukan  sebagai ‘kingmaker’ dan memastikan kestabilan pembangunan wilayah. Namun, mereka mungkin berdepan cabaran tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang boleh menjadi modal politik tempatan.

Spekulasi mengenai PRU pada Jun depan perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira beberapa faktor. Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dijangka disambut pada 27 Mei. Ini bermakna bulan Jun akan berada sejurus selepas musim perayaan utama, yang mungkin mempengaruhi mood pengundi dan kesediaan untuk berkempen.

Selain itu, cuti sekolah pertengahan tahun ini adalah mulai 23 Mei hingga 7 Jun. Tempoh ini mungkin menyukarkan pergerakan pengundi yang pulang ke kampung atau bercuti, serta mempengaruhi aktiviti kempen. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Sivamurugan, suku kedua tahun ini mungkin masih terlalu awal untuk kerajaan mengambil risiko pilihan raya mengejut.

Apa pun, kemungkinan PRU pada tahun ini tetap tinggi dengan pelbagai faktor politik dan ekonomi yang menjadi pemangkin kepada spekulasi ini.

Walaupun bulan Jun disebut-sebut, tempoh pada suku keempat tahun ini atau selepas musim perayaan dan cuti sekolah mungkin lebih strategik. Kerajaan Perpaduan dengan ‘feel-good factor’ dan perpecahan dalam blok pembangkang, dilihat berpotensi besar untuk mendapat keuntungan daripada pilihan raya awal.

Namun, kejayaan ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk mengekalkan momentum positif dan menguruskan sentimen rakyat. Bagi pembangkang, pilihan raya awal akan menjadi ujian besar terhadap perpaduan dan keupayaan mereka untuk menawarkan alternatif yang meyakinkan kepada pengundi.

Oleh Ziauddin Sharuddin
Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Zahid hendak berdamai? Isham dakwa hanya serang UMDAP

Next Post

Konflik Asia Barat: Bekalan ubat negara stabil, terkawal

Related Posts