BANGI, 9 RAMADAN – Sekali lagi, maruah agama Islam dipijak-pijak apabila tindakan seorang pelajar memuat naik kandungan yang memijak al-Quran di platform media sosial Threads.
Tindakan menghina agama seperti ini bukan kali pertama berlaku, apatah lagi ketika umat Islam menyambut bulan Ramadan.
Al-Quran ialah kalam Allah yang dimuliakan oleh lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam serta menjadi asas akidah, syariat, dan peradaban.
Tindakan memijak kitab suci itu merupakan provokasi melampau yang mencabar keharmonian serta menguji ketegasan undang-undang negara.
Ada kala penulis merasa hairan dengan sikap berani golongan bukan Islam yang semakin biadap dan kurang ajar.
Penulis tidak kata semua; ada juga golongan bukan Islam yang sangat menghormati agama dan menjaga sensitiviti umat Islam, misalnya di negeri-negeri Pantai Timur.
Adakah insiden ini membuktikan betapa lemah dan tidak tegasnya undang-undang kita terhadap isu yang memainkan sentimen agama Islam, lebih-lebih lagi ia adalah agama Persekutuan?
Lihat sahaja isu ceroboh tanah oleh penganut bukan Islam. Sehingga sekarang, masih belum ada apa-apa tindakan dikenakan ke atas penceroboh, meskipun beratus aduan diterima.
Tetapi yang pelik bin ajaib, individu yang melaporkan pula ditangkap dan dipenjara. Ajaib, bukan?
Malaysia bukan negara yang membenarkan budaya ekstrem atas nama kebebasan tanpa batas.
Jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan hukuman yang benar-benar tegas, ia akan menjadi preseden berbahaya dan membuka ruang kepada penghinaan agama yang lebih besar pada masa akan datang.
Cadangan beberapa pihak mengenai penggubalan undang-undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, wajar dipertimbangkan.
Ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti perlu bersatu menyokong usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam kerana dalam isu maruah agama, tidak sepatutnya wujud politik kepartian, kerana ia membabitkan prinsip, akidah, dan ketenteraman negara.
Hidayatul Akmal Ahmad
Wartawan TV Pertiwi