Dewan Ulamak PAS tegur PM buat kenyataan umum mengenai tokoh agama

BANGI, 6 RAMADAN – Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut Perdana Menteri menarik balik kenyataan yang menegur tokoh agama dengan naratif bahawa kedudukan mereka digunakan untuk memecah-belahkan rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu memperjelaskan pendirian beliau secara terbuka demi memelihara keharmonian serta mengangkat martabat Islam.

Katanya, kenyataan itu seperti yang dilaporkan oleh portal berita adalah tidak wajar dan tidak membantu suasana semasa, terutama dalam keadaan umat Islam berdepan pelbagai cabaran pemikiran, serangan persepsi serta usaha sistematik pihak tertentu yang cuba memalitkan lumpur terhadap institusi Islam dan agamawan.

“Sebagai Perdana Menteri beragama Islam, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi Islam dan golongan ulama, bukan mengeluarkan kenyataan umum yang berpotensi menimbulkan salah faham serta membuka ruang kepada pihak yang memusuhi Islam untuk terus menyerang kewibawaan agamawan,” katanya dalam kenyataan media di Facebook.

Mohd Nor berkata, Islam meletakkan kedudukan ulama pada martabat yang tinggi seperti Firman Allah SWT dalam Surah Fatir:28 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Menurutnya, ayat ini ditafsirkan oleh mufassirin muktabar seperti Imam Ibn Kathir bahawa ulama ialah golongan yang benar-benar mengenali Allah dan kerana itu mereka paling takut kepada-Nya, serta menjadi rujukan umat dalam memimpin masyarakat ke arah kebenaran.

Sehubungan itu, katanya sebarang kenyataan yang bersifat umum dan menyentuh kredibiliti tokoh agama perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab, berasaskan fakta yang jelas, serta tidak memberi gambaran seolah-olah institusi agama menjadi punca perpecahan.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa ulama berperanan sebagai penasihat ummah dan pemerintah berdasarkan prinsip amar makruf nahi mungkar. 

“Kritikan terhadap mana-mana pihak hendaklah bersifat spesifik dan berfakta, bukan berbentuk generalisasi yang boleh menjejaskan maruah institusi agama,” katanya.

Dalam suasana umat Islam berhadapan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, katanya perpaduan mesti dibina atas asas saling menghormati peranan masing-masing, terutama terhadap institusi ulama yang menjadi benteng akidah dan syariat.

Katanya, Dewan Ulamak PAS Pusat kekal komited mempertahankan kedudukan Islam dan agamawan daripada sebarang bentuk penghinaan, stigma atau persepsi yang merosakkan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ceroboh tanah: Kedaulatan undang-undang terhakis jika penguatkuasaan lemah

Next Post

‘Musuh mungkin kecewa kerana hasrat lihat PN berpecah tak kesampaian’

Related Posts