BANGI, 29 SYAABAN – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, bagi menjaga integriti dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), langkah paling bertanggungjawab ketika siasatan sedang berjalan ialah merehatkan sementara Ketua Pesuruhjaya agensi itu sehingga siasatan selesai.
Menurut beliau, SPRM adalah institusi yang berdiri atas satu asas paling penting yakni kepercayaan rakyat.
“Tanpa kepercayaan itu, apa juga siasatan, pendakwaan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan, malah boleh dilihat sebagai tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu.
Katanya, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar “apa keputusan siasatan”, tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan.
“Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.
“Ini bukan soal mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi soal memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan ‘kerajaan menyiasat kerajaan’,” katanya lagi.
Beliau juga menegaskan, ini adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti.
“Perlu diingat, ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan kepada Tan Sri Azam Baki, “Prinsipnya mudah – berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.
“Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus, dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat.”
Namun tegas Akmal, jika sebaliknya berlaku, “proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi.
“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras. Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan.
“Dan kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun pada sidang medianya baru-baru ini, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan pada tahun yang sama.
Susulan itu, Azam Baki, menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.