Perhimpunan aman, tahanan dan paradoks undang-undang

Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu, sekali lagi membuka luka lama dalam perbahasan hak bersuara di Malaysia.

Seorang penyelaras bersama dan beberapa individu lain ditahan polis sebelum atau ketika perhimpunan itu, termasuk personaliti seperti Zamri Vinoth dan Tamim Dahri. Puluhan lagi dibebaskan dengan jaminan polis selepas disoal siasat. Polis turut mengambil langkah proaktif menutup kawasan dan melarang himpunan itu dengan alasan keselamatan dan ketenteraman awam.

Senario ini menimbulkan dua persoalan besar. Pertama, apa sebenarnya hak berhimpun aman di sisi undang-undang Malaysia sekarang. Kedua, apakah tindakan penahanan itu wajar atau sebaliknya bertentangan dengan prinsip hak asasi?

Secara ringkas, hak berhimpun secara aman dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan (Artikel 10(1)(b)). Ini adalah hak asasi yang membolehkan rakyat menyatakan pendapat mereka secara kolektif tanpa campur tangan berlebihan kerajaan atau pihak berkuasa.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) yang sejak mula diperkenalkan dikritik hebat oleh aktivis hak asasi kerana meletakkan sekatan yang boleh dianggap mengurangkan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan sendiri. 

Sebagai contoh, APA 2012 pada asalnya mewajibkan penganjur memberitahu polis lima hari sebelum perhimpunan dengan kegagalan mematuhi syarat itu boleh dikenakan tindakan.

Apa yang ramai tidak sedar adalah bahawa pada 1 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa sekatan lima hari notis itu adalah tidak berperlembagaan kerana meletakkan halangan yang tidak sah terhadap hak berhimpun secara aman.

 Ini bermakna, secara teknikal, kegagalan memberi notis lebih lima hari itu tidak lagi merupakan satu jenayah.

Ringkasnya, peruntukan yang sering dijadikan alasan untuk menghalang perhimpunan, iaitu notis lima hari tidak lagi sah. Undang-undang kini pada prinsipnya membenarkan himpunan aman tanpa perlu menunggu kebenaran polis atau notis panjang yang tidak wajar.

Walaupun garis besar undang-undang nampak jelas, pihak berkuasa masih menggunakan kuasa lain untuk campur tangan, seperti menahan penganjur dan peserta atas alasan keselamatan, risiko ketenteraman atau dakwaan undang-undang lain seperti Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (ucapan yang boleh menimbulkan kegelisahan awam), atau akta lain yang luas tafsirannya.

Polis dalam kes GARAH membuat penahanan sebelum perhimpunan itu benar-benar berlangsung. Tindakan begini tanpa kekerasan yang jelas, sering dipandang sebagai langkah pencegahan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun pejuang hak asasi melihat ini sebagai melemahkan hak berhimpun secara aman.

Jika tiada ancaman jelas terhadap keselamatan awam seperti keganasan atau kerosakan harta, tindakan awal menahan penganjur dan peserta mencetuskan persoalan serius. Adakah ini benar-benar bertujuan menjamin keselamatan atau menghalang pendapat yang tidak selari dengan naratif rasmi?

Dalam konteks hak asasi manusia, kebebasan berhimpun dan bersuara bukanlah pilihan. Ia adalah hak asasi yang diiktiraf secara global di bawah Perlembagaan Malaysia, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan instrumen antarabangsa lain yang ditandatangani Malaysia.

Dasar yang mengekang hak ini hanya boleh dibenarkan jika tindakan itu perlu dan demi keselamatan awam, bukan semata-mata kerana sesuatu suara itu tidak selari dengan pendirian pemerintah atau pihak berkuasa.

Dalam kes GARAH, belum lagi jelas bahawa perhimpunan yang dirancang itu mewakili ancaman serius kepada keselamatan awam atau ketenteraman. 

Jika niatnya adalah aman seperti yang dinyatakan oleh penganjur dan tidak disertai dengan keganasan, maka pendakwaan atau tahanan awal penganjur kelihatan tindakan berlebihan yang mencerminkan kegagalan kerangka pelaksanaan undang-undang itu sendiri.

Undang-undang Malaysia untuk berkumpul secara aman sudah jauh berubah untuk lebih progresif, tetapi amalannya belum sejajar dengan semangat perundangan. Pihak berkuasa masih banyak menggunakan kuasa sekunder untuk mengehadkan suara yang menimbulkan kontroversi atau tidak popular.

Jika kita serius tentang demokrasi matang, pihak berkuasa mesti menghormati hak berhimpun secara aman bukan sekadar di atas kertas, tetapi dalam pelaksanaan sebenar. 

Ziauddin Sharuddin
Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kesesakan luar biasa: Perjalanan 30 minit jadi lebih dua jam

Next Post

Bapa bukan sekadar individu, tetapi fungsi kepimpinan dalam keluarga

Related Posts