BANGI, 21 SYAABAN – PAS berharap krisis dalaman yang melanda komponen Perikatan Nasional (PN), BERSATU dapat diselesaikan secara baik dan harmoni demi kepentingan semua pihak.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam mana-mana parti, apa juga tindakan yang diambil mesti demi kebaikan bersama dan mengambil kira kepentingan semua pihak serta memastikan keadilan ditegakkan.
Sehubungan itu, katanya PAS mengharapkan penyelesaian terbaik untuk BERSATU sebagai rakan gabungan dalam PN.
“Jika parti komponen tidak kukuh, maka gabungan itu sendiri tidak akan menjadi kuat,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Kota Bharu, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketikia mengulas laporan bahawa Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipanggil untuk hadir ke Lembaga Disiplin parti itu.
Ini dikatakan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan serta serangan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN, berkata, PAS percaya perpaduan dalam kalangan pimpinan parti adalah kunci kepada kekuatan dan kestabilan sesebuah organisasi, selain menegaskan bahawa sebarang isu dalaman wajar diselesaikan melalui saluran yang betul.
“Bagi kami, perpaduan pimpinan dalam mana-mana parti adalah penting. Kekuatan sesebuah organisasi bergantung kepada kesepaduan kepimpinannya serta sokongan rakyat.
“Jika ia tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kami akan terus menunggu dan berharap kepada penyelesaian terbaik,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin menyatakan komitmen PAS untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman parti itu sendiri dengan sebaik mungkin.
“Apa juga yang berlaku dalam parti rakan, kami berharap ia dapat diselesaikan secara baik. Begitu juga dengan kami, PAS akan sentiasa berusaha menyelesaikan sebarang isu dengan cara terbaik,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi