BANGI, 21 SYAABAN – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) boleh mulakan tindakan terhadap kuil haram di Kampung Tersusun Batu Lapan, Ulu Kinta di sini kerana keberadaan rumah anutan itu memang sah telah menceroboh tanah rizab gunung, kata penduduk, Peter Pauls.
Pesara polis beragama Kristian itu berkata, selain menceroboh, kewujudan kuil sejak 2017 itu juga telah menganggu ketentraman penduduk yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan komuniti di situ.
Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap rumah anutan haram amat disambut baik, malah perlu diambil perhatian serius oleh MBI.
“Kenyataan Perdana Menteri sangat jelas. MBI tiada alasan lagi, boleh ambil tindakan segera.
“Dari dulu saya sudah buat aduan, tetapi seolah-olah tiada tindakan, malah kuil haram itu terus beroperasi sehingga hari ini.
“Saya berharap MBI bukan sekadar setuju dengan Perdana Menteri tetapi melaksanakan arahan tersebut,” katanya kepada TV Pertiwi.
Pada 9 Januari lalu, TV Pertiwi menceritakan luahan Peter yang kecewa selepas aduan kepada pihak berkuasa mengenai keberadaan kuil haram besar di hadapan rumahnya seperti tidak dipedulikan.
Menurut beliau, kuil yang terletak hanya 30 meter daripada rumahnya itu sering menyebabkan gangguan seperti suasana bising yang menyebabkan penduduk berasa kurang senang.
Jelas beliau, penemuannya bersama pihak MBI mendapati rumah anutan itu sememangnya menceroboh tanah rizab gunung, namun beliau hairan apabila tiada tindakan serius diambil.
“Saya akan hantar surat ke Pengarah Pejabat Tanah dan Galian dalam terdekat dengan harapan tindakan segera akan diambil.
“Saya sudah laksanakan segala tindakan sebagai seorang penduduk iaitu melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab, selebihnya kami hanya boleh meletakkan harapan kepada pihak yang diberikan amanah,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi