BANGI, 11 SYAABAN – Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebanyak RM5 juta.
Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis, 56, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham pertuduhan tersebut, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya dari kandang tertuduh.
Beliau didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta TKAT berjumlah RM5 juta dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat, tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) Kuala Lumpur pada 27 November 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, menawarkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
“Walaupun tertuduh masih memegang jawatan (dalam perkhidmatan), terdapat risiko besar kerana beliau kerap ke luar negara untuk hadiri program di luar negara,” katanya.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memohon supaya kadar jaminan dikurangkan kepada RM70,000.
Beliau mengemukakan alasan bahawa anak guamnya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan masih memegang jawatan dalam perkhidmatan serta tidak membantah syarat untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, manakala tarikh sebutan semula kes pada 16 Mac depan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi