WASHINGTON, 7 SYAABAN – Kejadian tembakan maut kedua oleh ejen Persekutuan di Minneapolis meletakkan tindakan keras imigresen pentadbiran Presiden Donald Trump menjadi tumpuan politik Amerika Syarikat (AS).
Ketika Republikan terpaksa mempertahankan taktik itu, Demokrat mendapat senjata baharu menjelang tahun pilihan raya.
Pegawai Persekutuan menembak mati dua warga AS di bandar itu bulan ini, termasuk jururawat ICU, Alex Pretti, pada Sabtu lalu, ketika pertembungan dengan penunjuk perasaan yang marah terhadap lonjakan penguatkuasaan besar-besaran pentadbiran Trump.
Pemimpin utama Demokrat di Senat AS, Chuck Schumer, berkata partinya akan mengundi menentang Rang Undang-Undang (RUU)Pembiayaan yang merangkumi peruntukan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang menyelia agensi persekutuan, Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE).
Kongres berdepan tarikh akhir pada 30 Januari untuk meluluskan pembiayaan kerajaan atau berisiko berlaku penutupan sebahagian operasi kerajaan.
Dalam kenyataan semalam, Schumer berkata Republikan perlu bersama Demokrat merombak ICE dan CBP (Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS) bagi melindungi orang awam.
Senator Demokrat berpendirian sederhana yang sebelum ini tidak mengikut dasar parti ketika kebuntuan penutupan kerajaan tahun lalu dan paling berhati-hati agar tidak dilihat anti-penguatkuasaan undang-undang, turut menyokong gesaan itu.
“Ini jelas bukan soal menjaga keselamatan rakyat AS, sebaliknya mencederakan warga AS dan pendatang yang mematuhi undang-undang,” kata Senator Nevada, Catherine Cortez Masto mengenai operasi ICE.
Operasi imigresen di Minneapolis, mencetuskan protes berterusan selama beberapa minggu oleh penduduk serta pertembungan ganas dengan ejen Persekutuan, termasuk dua kematian akibat tembakan, Renee Good pada 7 Januari dan Pretti hujung minggu ini.
Trump tidak menunjukkan sebarang tanda mengalah. Dalam hantaran di Truth Social semalam, beliau berkata operasi itu menjadi faktor utama kemenangannya sebagai Presiden AS pada 2024 serta penguasaan Republikan di Kongres.
“Secara tragis, dua warga AS kehilangan nyawa akibat kekacauan yang didalangi Demokrat,” katanya menyalahkan pihak lawan.
Penyokong hak senjata membantah
Walaupun Republikan secara umum menyokong tindakan keras itu, insiden tembakan Sabtu lalu yang melibatkan seorang warga AS yang memiliki senjata secara sah, menimbulkan risiko politik tersendiri kepada parti yang sebelum ini dlihat menjadi pelindung hak pemilik senjata.
Kumpulan hak senjata menyuarakan kebimbangan terhadap usaha pentadbiran Trump menyalahkan Pretti kerana membawa senjata ke protes, walaupun beliau berhak secara sah berbuat demikian.
“Setiap rakyat Minnesota yang aman mempunyai hak untuk memiliki dan membawa senjata, termasuk ketika menghadiri protes,” menurut kenyataan Kaukus Pemilik Senjata Api Minnesota.
Tinjauan Reuters menunjukkan pengundi Demokrat tidak menyokong taktik penguatkuasaan Trump. Malah, sebahagian besar penyokong Republikan Trump sendiri, iaitu 39 peratus berasa bimbang dengan menyatakan kemudaratan harus diminimumkan walaupun ini bermakna jumlah tangkapan berkurangan.
Dalam kalangan pengundi bebas, 73 peratus berkata pihak berkuasa perlu mengutamakan pengurangan kemudaratan, manakala 19 peratus berpendapat mereka wajar bersedia mengambil risiko menyebabkan kecederaan serius atau kematian demi melaksanakan tangkapan.
“Seluruh negara perlu tahu bahawa apa yang berlaku di sini boleh berlaku di mana-mana,” kata penunjuk perasaan, Eric Gray, 50, penduduk Minneapolis.
“Saya rasa Minnesota sedang menjadi titik permulaan, atau ujian litmus.”
Sebahagian Republikan persoal taktik ICE
Video tular yang memaparkan pertembungan antara ejen imigresen Persekutuan bertopeng dan bersenjata lengkap dalam pakaian taktikal dengan orang awam menimbulkan kegusaran dalam kalangan penggubal undang-undang Republikan, yang ketika ini berdepan kemarahan pengundi terhadap kenaikan harga menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada November akan datang.
Ahli perundangan Republikan meluluskan suntikan dana besar kepada ICE tahun lalu. Namun, selepas dua kematian akibat tembakan di Minnesota, sebahagian mereka menuntut penjelasan pentadbiran Trump.
Senator Louisiana, Bill Cassidy berkata, insiden tembakan di Minneapolis amat mengganggu, manakala kewibawaan ICE serta DHS sedang dipertaruhkan. Senator Alaska, Lisa Murkowski berkata kematian pada Sabtu itu sepatutnya menimbulkan persoalan serius mengenai tahap latihan penguatkuasaan imigresen.
Senator North Carolina, Thom Tillis berkata, mana-mana pegawai pentadbiran yang tergesa-gesa membuat kesimpulan atau cuba menutup siasatan melakukan ketidakadilan besar terhadap negara dan legasi Presiden Trump.
Di Dewan Perwakilan, Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri meminta keterangan pegawai ICE berhubung operasi berkenaan.
“Amat penting rakyat AS dan Kongres mendapat pemahaman lebih jelas mengenai bagaimana penguatkuasaan imigresen dilaksanakan,” kata wakil Republikan, Michael Baumgartner dari Washington, sambil mengalu-alukan permintaan itu.
Gabenor Republikan Oklahoma, Kevin Stitt turut menyuarakan kebimbangan sama, memberitahu bahawa rakyat AS menyaksikan warga negara ditembak di televisyen dan bahawa taktik persekutuan serta akauntabiliti kini menjadi kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pengundi.
Demokrat mengambil kesempatan daripada operasi ICE di Minneapolis dan taktik Persekutuan yang agresif untuk menuduh pentadbiran Trump melakukan keterlanjuran kuasa kerajaan, tuduhan yang berpotensi bergema dalam kalangan Demokrat dan pengundi bebas pada pilihan raya akan datang.
“ICE di bawah Trump sudah di luar kawalan dan menimbulkan ancaman domestik yang serius. Senator Demokrat Senat wajar melakukan apa sahaja yang termampu untuk mengekangnya,” kata Tre Easton, pakar strategi dasar Demokrat di Searchlight Institute yang menasihati calon Demokrat.
Selama beberapa minggu, Trump dan pentadbirannya menggunakan lonjakan penguatkuasaan Persekutuan di Minnesota untuk menonjolkan perbezaan politik dengan kepimpinan Demokrat negeri itu, Gabenor Tim Walz.
Walz serta agensi penguatkuasaan undang-undang negeri dan tempatan menolak gambaran presiden itu, sambil menegaskan mereka akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menyingkirkan pesalah ganas, namun menyatakan operasi pentadbiran itu sebenarnya mencetuskan kekacauan.
“Seseorang perlu dipertanggungjawabkan atas pembunuhan di Minnesota,” kata Walz. “Presiden Trump, anda boleh menamatkan hari ini. Tarik balik mereka,” katanya — REUTERS