1. MUNGKIN isu ini akan jadi perbualan ramai dalam seminggu ini. Akan ada ulasan di akhbar, akan ada forum mungkin. Akan berlaku debat dan kenyataan balas susulan dari PMX sendiri. Kalau ada orang kata ini cubaan alih isu, boleh dikatakan berjaya juga.
2. Secara peribadi saya rasa terkejut sebab yang jadi topik perbahasan sebelum ini adalah isu peperiksaan UPSR dan PT3. Tidak pula kedengaran sangat isu kemasukan pelajar 6 tahun ke tahun 1 dan peperiksaan di tahun 4. Mungkin perbincangan tertutup, wallahu a’lam. Ia berlaku macam banjir kilat … cuaca cerah tiba-tiba awan gelap, hujan dan banjir.
3. Para pendidik khususnya guru-guru berhak untuk tahu latar belakang keputusan itu dibuat. Mana kertas kajian dan kertas cadangannya? Mana data dan analisa yang menyokong keputusan itu.
Juga berhak untuk tahu apakah persediaan yang sepatutnya sudah dibuat sebelum ini untuk menguruskan kesan dari keputusan itu?
Kalau guru-guru pun tidak tahu semua itu, maknanya ini memang satu yang dibuat dengan segera dan pantas (ganti perkataan gopoh). Dan sudah pasti guru-guru sebagai watak paling penting di sini tidak bersedia.
4. Saya membayangkan bilangan bilik darjah untuk menampung lambakan sekali ganda murid tahun 1 dari generasi berusia 6 dan 7 tahun serentak dalam setahun. Maknanya bilangan bilik darjah di seluruh Malaysia diperlukan sebanyak sekali ganda dari kelas sedia ada. Sudah bersediakah ke arah itu?
5. Saya juga membayangkan bilangan guru yang perlu ditambah kerana lambakan mengejut pertambahan murid tahun 1 serentak ini. Sudahkah dicukupkan guru-gurunya?
6. Saya membayangkan murid 6 tahun yang masih belum pandai mengurus diri termasuklah mungkin yang masih bermasalah dalam penggunaan tandas memeriahkan suasana di sekolah.
7. Saya membayangkan apakah kurikulum untuk murid 6 tahun akan sama sahaja seperti murid 7 tahun seperti yang digunakan sekarang? Atau akan ada kurikulum baru? Atau akan dibuat kemudian? Kalau dibuat kemudian, bila akan siap?
8. Di masa hadapan adakah tahun 6 akan tamat di usia 11 tahun? Dengan erti adakah pelajar tingkatan 1 akan datang berusia 12 tahun? Lalu bilakah SPM dan bilakah usia masuk universiti?
Kalau yang terlebih fikir, mereka akan bertanya nanti murid 11 tahun akan buat mykad atau akan kekal di usia 12 tahun?
9. Ini semua persoalan spontan. Jika diperhalusi sudah tentu banyak lagi persoalan yang perlu dijawab oleh KPM.
10. 6 tahun mula sekolah bukan isu besar. Tapi mengubah satu juzuk dari sistem tanpa bersedia untuk menghadapi kesan positif dan negatif dari perubahan itu yang menakutkan.
Saya berharap kenyataan PMX hanya tersasul…
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Perunding Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)