BANGI, 2 SYAABAN – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam kenyataan Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sing, kononnya wujud `pembukaan pintu bersyarat’ kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Presiden Perkasa, Syed Hassan Ali, berkata Dong Zong cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan telah mengiktiraf UEC sedangkan hakikatnya, kerajaan tidak memberi sebarang pengiktirafan dan tidak pernah bersetuju..
Menurutnya, Perkasa memandang serius dan membantah keras cubaan memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan kewajipan pengajaran bahasa Melayu dan mata pelajaran Sejarah di semua sekolah negara ini.
“Perkasa menegaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri mengenai bahasa Melayu dan Sejarah langsung tidak membawa maksud pengiktirafan UEC atau menjadi laluan baharu kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Cubaan mengaitkannya dengan UEC adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ketika majlis peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 semalam, Anwar berkata semua sekolah pelbagai aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan untuk mengambil subjek bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Syed Hassan berkata, pendirian Perkasa adalah jelas dan tidak boleh dirunding, iaitu UEC tidak boleh diiktiraf sama sekali dalam negara ini.
Katanya, sebarang usaha ke arah pengiktirafan UEC merupakan pengkhianatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan dan pembinaan negara bangsa Malaysia.
“Perkasa menegaskan bahawa UEC bercanggah secara nyata dengan Akta Pendidikan negara, termasuk kegagalan mematuhi kurikulum kebangsaan, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta penolakan terhadap falsafah pendidikan nasional yang berteraskan perpaduan,” katanya.
Menurutnya, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan wajib diajar di semua sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan, tanpa sebarang syarat, pengecualian atau kompromi dan begitu juga mata pelajaran Sejarah yang menjadi asas pembentukan identiti dan jati diri rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, katanya Perkasa memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak terus memanipulasi isu pendidikan demi kepentingan politik atau perkauman.
Pada masa sama, katanya kerajaan mesti kekal tegas, berprinsip dan konsisten mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan dan menutup sepenuhnya pintu pengiktirafan terhadap UEC.
Katanya, Perkasa akan terus mempertahankan Bahasa Melayu, Perlembagaan dan kedaulatan sistem pendidikan negara tanpa kompromi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi