BANGI, 17 REJAB – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menimbulkan tanda tanya apabila memuat naik hantaran di Facebook yang membayangkan hasratnya untuk mengundurkan diri.
Bagaimanapun, anggota EXCO Kerajaan Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu tidak menyatakan secara khusus maksud sebenar ‘mengundurkan diri’.
Beliau berkata, dirinya telah berusaha dan menyampaikan pandangan sehabis baik, dipercayai merujuk kepada penganjuran Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada 3 Januari lalu.
“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik,” tulisnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Muhamad Akmal turut mengakui bahawa kelemahan yang wujud mungkin berpunca daripada dirinya sendiri, sekali gus memberi bayangan untuk mengundur diri.
“Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya lagi.
Antara usul utama Konvensyen Khas Pemuda UMNO ialah supaya UMNO melalui Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP.
Ketika berucap pada konvensyen itu, Dr Muhamad Akmal turut menyuarakan hasrat agar UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.
Menurutnya, penyatuan itu penting bagi memastikan kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam terus terpelihara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO dan Pas sebagai dua parti terbesar orang Melayu dan umat Islam mengetepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kemudiannya menegaskan bahawa BN menolak sebarang amalan ‘tebuk atap’ yang boleh menyebabkan kejatuhan Kerajaan Perpaduan, selain kekal komited bersama kerajaan sedia ada sehingga tamat penggal.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi