HOUSTON/WASHINGTON , 17 REJAB – Caracas dan Washington mencapai persetujuan untuk mengeksport sehingga AS$2 bilion minyak mentah Venezuela ke Amerika Syarikat (AS), dakwa Presiden Donald Trump.
Perjanjian itu yang akan mengalihkan bekalan dari China, selain membantu Venezuela mengelakkan pemotongan pengeluaran minyak yang lebih besar, menjadi isyarat kukuh bahawa kerajaan Venezuela tunduk kepada tuntutan Trump supaya membuka akses kepada syarikat minyak AS atau berdepan risiko campur tangan ketenteraan yang lebih besar.
Trump sebelum ini mahu presiden sementara Delcy Rodriguez memberi “akses penuh” kepada AS dan syarikat swasta terhadap industri minyak Venezuela.
Venezuela mempunyai berjuta-juta tong minyak yang telah dimuatkan ke kapal tangki dan disimpan dalam tangki simpanan, namun gagal dihantar berikutan sekatan eksport yang dikenakan Trump sejak pertengahan Disember lalu.
Sekatan itu merupakan sebahagian daripada peningkatan tekanan AS terhadap kerajaan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang memuncak dengan penahanannya oleh tentera AS pada hujung minggu lalu.
Pegawai kanan Venezuela menyifatkan penahanan Maduro sebagai penculikan dan menuduh AS cuba mencuri rizab minyak besar negara itu.
Venezuela akan “menyerahkan” antara 30 hingga 50 juta tong “minyak yang dikenakan sekatan” kepada AS, kata Trump dalam hantaran di media sosial.
“Minyak ini akan dijual pada harga pasaran, dan wang itu akan dikawal oleh saya sebagai Presiden AS bagi memastikan ia digunakan untuk manfaat rakyat Venezuela dan AS,” tambahnya.
Trump berkata, Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, bertanggungjawab melaksanakan perjanjian itu, sambil menambah minyak berkenaan akan diambil dari kapal dan dihantar terus ke pelabuhan AS.
Membekalkan minyak mentah yang terperangkap itu ke AS pada peringkat awal mungkin memerlukan pengagihan semula kargo yang asalnya ditujukan ke China.
Negara Asia itu merupakan pembeli utama minyak Venezuela sepanjang dekad lalu, khususnya sejak AS mengenakan sekatan ke atas syarikat yang terlibat dalam perdagangan minyak Venezuela pada 2020.
“Trump mahu perkara ini berlaku awal supaya beliau boleh menyatakannya sebagai kemenangan besar,” kata seorang sumber industri minyak.
Chevron kawal aliran minyak Venezuela ke AS (BOLD)
Harga minyak mentah AS jatuh lebih 1.5 peratus selepas pengumuman Trump, dengan perjanjian itu dijangka meningkatkan jumlah minyak Venezuela yang dieksport ke AS.
Aliran minyak itu kini dikawal sepenuhnya oleh Chevron, rakan usaha sama utama PDVSA (syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan Venezuela) di bawah kebenaran AS.
Chevron yang mengeksport antara 100,000 hingga 150,000 tong sehari minyak Venezuela ke AS, merupakan satu-satunya syarikat yang memuat dan menghantar minyak mentah tanpa gangguan dari negara Amerika Selatan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini di bawah sekatan berkenaan.
Tidak jelas sama ada Venezuela akan mempunyai sebarang akses kepada hasil bekalan tersebut. Sekatan bermakna PDVSA dikecualikan daripada sistem kewangan global, akaun banknya dibekukan dan ia dihalang daripada menjalankan transaksi dalam dolar AS.
Venezuela menjual gred minyak utama negara itu, Merey, pada harga sekitar AS$22 setong di bawah Brent untuk penghantaran di pelabuhan Venezuela, menjadikan nilai perjanjian itu sehingga AS$1.9 bilion.
Rodriguez, yang mengangkat sumpah sebagai presiden sementara pada Isnin lalu, turut dikenakan sekatan AS sejak 2018 atas dakwaan melemahkan demokrasi. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi