BANGI, 17 REJAB – Agama Hindu pun tidak membenarkan penganutnya menceroboh tanah orang apatah lagi membina kuil tanpa mengikut prosedur sah, kata Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra.
Aktivis isu rakyat beragama Hindu itu berkata, tindakan membina kuil di atas tanah orang lain tanpa mendapatkan kebenaran adalah satu kesalahan bukan sahaja di sisi undang-undang tetapi ditegah agama itu.
Beliau berkata, ramai penganut Hindu di negara ini juga tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang membina rumah ibadat secara haram.
“Situasi ini ibarat ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’ kerana perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini telah mencemarkan agama Hindu.
“Agama ini jelas menyatakan pembinaan kuil mesti didirikan atas tanah sendiri, bukan tanah milik orang lain.
“Saya dan ramai lagi tidak menyokong perbuatan sebegini. Pembinaan rumah ibadat termasuk kuil perlu melalui prosedur yang ditetapkan supaya adil kepada semua,” katanya kepada TV Pertiwi.
Baru-baru ini, tular berita mengenai seorang pesara swasta yang meluahkan kekecewaan apabila mendapati tanahnya yang dibeli pada 2001 berhampiran Taman Topaz di Dengkil kini terdapat sebuah kuil haram.
Susulan itu, ramai meluahkan rasa tidak puas hati dan menggesa supaya kuil itu dirobohkan segera dan menyarankan pemilik tanah, Suhaili Ahmad mengambil tindakan undang-undang terhadap penceroboh terebut.
Mengulas mengenai perkara ini, Cikgu Chandra turut meluahkan simpati dan berharap keadilan akan memihak kepada Suhaili selaku pemilik tanah.
Terdahulu, aktivis isu rakyat itu turut berkongsikan pandangannya mengenai isu tersebut yang mana beliau turut tidak bersetuju dengan pembinaan kuil tersebut.
“Saya juga ada dapat mesej meminta saya menyokong kuil itu kerana saya beragama Hindu. Saya tegas berkata, saya akan sokong sekiranya kuil dibina mengikut prosedur sahaja.
“Sedih apabila saya terbaca mengenai situasi itu. Ada pula dia (tuan tanah) yang diusir sedangkan itu tanah dia,” katanya lagi.
Sementara itu, Cikgu Chandra menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula Kanun Tanah Negara dan membuat pindaan atau menambah baik undang-undang itu demi menangani isu pencerobohan di atas tanah persendirian.
Saranan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dibuat oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang baru-baru ini yang menyatakan limitasi tindakan agensi kerajaan itu hanya terhad kepada tanah kerajaan, tanah rizab dan tanah perlombongan sahaja.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi