‘Bersatulah atas nama Islam’ – kata Ridhuan Tee kepada pemimpin UMNO dan PAS

BANGI, 15 REJAB – Pemimpin Melayu Islam UMNO dan PAS digesa bersatu atas nama Islam demi agama, bangsa dan tanah air (ABATA), kata Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah.

Gesaan itu disuarakan susulan inisiatif Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Dr. Akmal Saleh menganjurkan Konvensyen Khas melibatkan pemuda UMNO, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam, yang berlangsung Sabtu lalu.

“Bersatulah atas nama Islam, sebelum terlambat, jangan ulangi kesilapan masa lalu. Demi agama, bangsa dan tanahair (ABATA), buang yang keruh, ambil yang jernih,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, meskipun tidak pasti jumlah kehadiran ketua Pemuda UMNO daripada keseluruhan 191 bahagian, perhimpunan tersebut tetap signifikan sebagai langkah awal ke arah penyatuan umat Islam.

“Apa jua keadaan dan tindakan, perlu mulakan dengan langkah pertama,” ujarnya.

Ridhuan Tee berkata, dua keputusan utama telah dinyatakan dalam konvensyen berkenaan, iaitu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bermula dengan UMNO dan PAS, serta gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

“Dua keputusan utama telah diambil, terus hidupkan Muafakat Nasional, mulakan dengan UMNO PAS. Kedua, UMNO keluar daripada kerajaan perpaduan. Inilah tindakan yang kita nantikan selama ini. Inilah juga suara akar umbi,” katanya.

Beliau memaklumkan keputusan tersebut akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 14 Januari 2026, dan terpulang kepada kepimpinan tertinggi parti untuk mempertimbangkannya.

“Terpulang, sama ada kepimpinan tertinggi UMNO mahu menerima atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan gesaan itu mencerminkan suara akar umbi dan majoriti umat Islam, termasuk mereka di luar UMNO yang mengharapkan penyatuan demi kepentingan bersama.

“Pemerhatian saya, mudah sahaja, inilah suara akar umbi, suara majoriti umat Islam… Inilah juga suara kami di luar UMNO yang mahukan penyatuan demi ABATA,” katanya.

Dalam masa sama, Ridhuan Tee mengingatkan agar usaha penyatuan tidak digagalkan dengan mengungkit perselisihan lama antara UMNO dan PAS.

“Jika mahukan penyatuan ini berlaku, jangan ungkit kisah lama. UMNO tidak bersih, PAS tidak suci. Semua kita adalah manusia. Ada kelemahan dan kekhilafan,” katanya.

Ridhuan Tee turut menyatakan kesediaan NGO Muafakat Nasional yang dipimpin Tan Sri Annuar Musa untuk terus membuka ruang pertemuan demi menghidupkan kembali MN.

“Kami di pihak NGO Muafakat Nasional (MN)… sentiasa berlapang dada dan terbuka… Paling penting, MN perlu dihidupkan kembali, walaupun sebenarnya ia tidak pernah mati,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konvensyen Khas Pemuda UMNO buka jalan penyatuan Melayu?

Next Post

Tiada pagar tak bermaksud boleh ceroboh, bina kuil sesuka hati – pemilik tanah

Related Posts