Mamdani guna al-Quran angkat sumpah Datuk Bandar New York, janji bela golongan pekerja

NEW YORK, 12 REJAB –  Zohran Mamdani yang menggunakan al-Quran ketika mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York, semalam, berikrar untuk melaksanakan agenda agresif bagi menjadikan bandar terbesar negara itu lebih mampu milik untuk golongan pekerja.

Anggota kumpulan sosialis demokratik berhaluan kiri dalam partinya, Mamdani dipilih pada November lalu dalam kemenangan berprofil tinggi yang berpotensi mempengaruhi pilihan raya pertengahan penggal tahun ini yang akan menentukan penguasaan Kongres Amerika Syarikat (AS).

Sebahagian ahli Demokrat menerima gaya kepimpinannya, manakala Republikan menggambarkannya sebagai sasaran serangan di pentas politik nasional.

Ahli politik berusia 34 tahun itu berkempen secara intensif mengenai isu kos sara hidup dan lantang mengkritik Presiden Republikan, Donald Trump, yang kadar kepopularannya merosot sepanjang tahun lalu susulan kebimbangan ekonomi.

Dalam kalangan lapan juta penduduk New York, ada yang penuh harapan, ada yang berasa bimbang, menjangkakan beliau menjadi kuasa politik yang menggugat status quo. 

Dalam ucapan selepas angkat sumpah, Mamdani mempromosikan janji teras kempennya termasuk penjagaan kanak-kanak sejagat, sewa rumah mampu milik dan perkhidmatan bas percuma.

“Kami akan bertanggungjawab kepada semua warga New York, bukan kepada mana-mana bilionair atau oligarki yang menyangka mereka boleh membeli demokrasi kami,” katanya. 

“Saya dipilih sebagai sosialis demokratik dan saya akan mentadbir sebagai sosialis demokratik.”

Orang ramai sorak `cukai orang kaya’

Atur cara perasmian Mamdani turut menampilkan ucapan Senator AS, Bernie Sanders dan Alexandria Ocasio-Cortez, rakan sosialis demokratik yang berada di barisan hadapan sayap liberal Parti Demokrat.

Sander yang dianggap Mamdani sebagai inspirasinya, mempertahankan agenda Mamdani.

“Memastikan rakyat dapat tinggal di perumahan mampu milik bukan sesuatu yang radikal,” kata Sanders. “Ia perkara yang betul dan wajar.”

Ribuan orang yang menyaksikan upacara itu bersorak kuat apabila Sanders menggesa jutawan dan bilionair Amerika membayar cukai lebih tinggi, sebelum melaungkan slogan “cukai orang kaya”.

Walaupun suhu berada jauh di bawah paras beku, bandar itu menyediakan kawasan tontonan di sepanjang Broadway bagi membolehkan ribuan lagi menyaksikan siaran langsung upacara berkenaan, yang turut diserikan dengan persembahan muzik.

Mae Hardman-Hill, 27, yang menjadi sukarelawan kempen Mamdani, berkata momentum politik beliau semakin meningkat.

“Saya anak jati New York. Saya melihat bandar ini semakin lama semakin tidak mampu milik, semakin sukar didiami,” katanya. “Saya benar-benar teruja untuk…orang biasa mendapatkan semula sedikit kuasa.”

Sebelum upacara itu, Mamdani mengangkat sumpah secara tertutup sebagai Datuk Bandar New York pada minit-minit awal Tahun Baharu di stesen kereta api bawah tanah City Hall yang bersejarah, yang telah ditutup sejak beberapa dekad lalu dan hanya boleh diakses beberapa kali setahun melalui lawatan berpandu. – REUTERS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PN Negeri Sembilan hilang dua pemimpin kanan

Next Post

‘Saya masih menerajui kepimpinan BERSATU’ – Muhyiddin

Related Posts