BANGI, 12 REJAB – Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menafikan Perikatan Nasional (PN) akan berkubur, sebaliknya PN bukan saja masih wujud, malah proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan.
Sehubungan itu, katanya pelantikan kepimpinan baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan akan dibuat.
“Cakap-cakap yang mengatakan PN sudah ‘damage’ (rosak), PN sedang menuju kehancuran, PN sudah hilang arah, semuanya tidak betul.
“Yang melepaskan jawatan hanya beberapa orang. Kepimpinan yang lain masih ada. Di peringkat pusat, negeri, bahagian dan kawasan, masih ada,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan PN seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, masih berjalan seperti biasa, selain tiada mana-mana pimpinan BERSATU yang digugurkan atau meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri.
Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen (MP) Alor Setar berkata, dalam kalangan MP PN, hubungan kembali seperti biasa dengan masing-masing masih saling berhubung dalam kumpulan Whatsapp.
“Saya sendiri tidak pernah menulis bahawa PN akan berkubur. Bahkan, PN mesti perlu terus dijaga, diperkasa. Itulah usul Pemuda PAS yang diluluskan dalam Muktamar PAS yang lalu. Harapan rakyat kepada PN terlalu tinggi, setelah harapan mereka kepada Pakatan Harapan (PH) berkubur tiada harapan,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui bahawa ramai yang berharap agar penyatuan ummah melalui PN + MN (Muafakat Nasional) benar-benar dapat diusahakan kembali demi kepentingan Islam dan Melayu.
Selain itu, katanya penyatuan ummah adalah cara untuk melemahkan PH, terutama DAP yang sekarang `naik tocang’ kerana orang Melayu-Islam tidak bersatu menyebabkan PH dan DAP akan terus berusaha supaya penyatuan itu tidak berlaku.
“Jika wujud penyatuan melalui PN + MN, mereka akan tergugat. Mereka akan hilang semua kuasa yang ada sekarang. Semua tahu perkara ini, lebih-lebih lagi DAP. Mereka ada think-tank (kumpulan pemikir), mereka ada kajian akademik dan kajian lapangan. Mereka sedar keadaan ini.
“PN sahaja tidak cukup. MN sahaja pun tidak gagah. Perlu kepada PN + MN. Sebab itu sekarang ini semua mata tertumpu kepada PN,” katanya.
Beliau yakin PN akan kuat dan cergas dengan pembentukan kepimpinan baharu kelak. manakala penyatuan ummah yang sangat diidamkan akan terbentuk.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi