BANGI, 9 REJAB – Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengikut jejak langkah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan meletakkan jawatan Setiausaha Agung PN.
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Maka, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Selain itu, Azmin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa tarikh yang sama.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai dan diucapkan terima kasih,” katanya.
Sebelum ini, Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, berpendirian jika Muhyiddin meletakkan jawatan, maka Azmin juga perlu melakukan perkara sama.
Ini kerana, katanya Setiausaha Agung PN dipilih oleh Pengerusi PN.
“Sekiranya Pengerusi lepas jawatan, maka Setiausaha Agung juga patut lepas jawatan kerana Setiausaha Agung dipilih oleh Pengerusi,” katanya ringkas menerusi laman sosial Facebook.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Keputusan itu dipercayai berkait kemelut politik di Perlis yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin PAS, termasuk mencadangkan supaya Pas meninggalkan PN.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi