BANGI, 8 REJAB – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah bagi kes SRC International.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan notis rayuan berkenaan difailkan, Rabu lalu.
“Notis rayuan berkaitan (keputusan Titah) Adendum sudah difailkan pada 24 Disember lalu,” katanya, hari ini.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Ia membabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang disabitkan ke atas Najib yang juga bekas Presiden UMNO.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.
Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja difailkan pada 2 September 2022.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi