BANGI, 5 REJAB – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu di Putrajaya, hari ini.
Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Disember 2014.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Bekas Perdana Menteri itu kali pertama didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, sebelum pihak pendakwa menutup kesnya pada 30 Mei 2024.
Pada 30 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan memerintahkan Najib untuk mengemukakan pembelaan terhadap semua pertuduhan.
Kes pembelaan didengar dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025 selama 58 hari, dengan 26 saksi dipanggil memberi keterangan.
Pendengaran hujah lisan dalam perbicaraan 1MDB berjumlah RM2.3 bilion itu diselesaikan pada 4 November selepas kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menamatkan hujah terakhir masing-masing.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi