‘Sekelip mata, maruah dan kedudukan institusi Raja Melayu seolah-olah runtuh – Nazifuddin’

BANGI, 2 REJAB – Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Titah Adendum terhadap bapanya, Datuk Seri Najib Razak tidak sah. 

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Langkawi menyifatkan keputusan itu juga membuktikan apa-apa titah atau dokumen diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan. 

Katanya, ini adalah kesan yang amat besar dan mendalam terhadap sistem yang selama ini dijunjung.

“Keputusan semalam amat menyedihkan buat saya, bukan semata-mata kerana ayah saya, tetapi kerana makna di sebalik keputusan itu. 

“Selama puluhan tahun, UMNO memperjuangkan prinsip tertinggi menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiap titah serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Namun dalam sekelip mata, semalam, maruah dan kedudukan institusi tersebut seolah-olah runtuh. Keputusan itu membawa maksud bahawa apa-apa titah atau dokumen diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan.

“Ini satu implikasi yang amat besar dan mendalam terhadap sistem yang selama ini kita junjung,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. 

 Nazifuddin turut mempersoal, jika ini pendirian kerajaan kenapa perkara berkenaan (titah serta perkenan) tidak dinyatakan sejak awal. 

“Mengapa kami perlu berulang-alik ke mahkamah selama ini, memperjuangkan kewujudan satu adendum yang kini dikatakan tidak sah kerana isu proses?

“Saya secara peribadi percaya adendum itu adalah sah. Selama ini, kefahaman saya  dan kefahaman ramai ialah Lembaga Pengampunan hanyalah bersifat nasihat, manakala kuasa sebenar terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Namun semalam, mesej yang diterima amat jelas: kuasa itu kini terletak pada kerajaan, dan tanpa proses kerajaan, dokumen diraja tidak membawa sebarang nilai,” katanya. 

Soal beliau lagi, bagaimana pula dengan kes-kes terdahulu yang juga mempunyai isu proses?

“Bagaimana seseorang boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Lembaga Pengampunan yang lengkap dan ketika Peguam Negara berada dalam cuti khas?

“Di manakah konsistensi? Atau adakah semuanya ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia,” katanya. 

Beliau turut melahirkan kekesalan jika kehendak Yang di-Pertuan Agong. tidak dipenuhi seperti dizahirkan melalui surat Istana, maka kerajaan hari ini sedang menahan Najib secara tidak adil, bertentangan dengan kehendak tersebut.

“Lebih menyedihkan, bagi jenayah yang dilakukan oleh Jho Low, individu yang dikehendaki sehingga hari ini, kerajaan sendiri tidak lagi menunjukkan kesungguhan untuk memburunya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus bersama kami. Saya mohon maaf kerana kami tidak dapat membawa berita baik semalam. 

“Kepada mereka yang memilih untuk bergembira dan meraikan keputusan semalam nikmatilah kemenangan politik terbesar anda: menjatuhkan sebuah kerajaan lama yang telah membina negara ini ke tahap hari ini.

“Selain meraikan sabitan seorang ahli politik Melayu, apakah lagi yang telah dilakukan untuk rakyat sama ada Melayu, Cina atau India?

“Saya percaya rakyat mampu menilai sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku di Sabah. Masa akan menentukan segalanya,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hubungan UMNO-DAP: Retak meniti belah

Next Post

Kes Najib: Keputusan Mahkamah Tinggi tidak mengurangkan kuasa pengampunan diraja – AGC

Related Posts