Tak perlu iktiraf UEC selagi tiada usaha reformasi

BANGI, 21 JAMADILAKHIR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kerajaan tidak perlu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selagi sistem itu tidak direformasi agar diselaraskan dengan aspirasi nasional. 

“Selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan akan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya,” katanya. 

Beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan mestilah dibina selaras aspirasi nasional, termasuk penggunaan bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.

Beliau menekankan bahawa isu sebenar bukan pelaksanaan UEC, tetapi tuntutan pengiktirafan kelayakan. 

Katanya, bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, kerajaan tidak pernah menghalang pelaksanaannya, yang sudah dijalankan Dong Zong sejak 1975 tanpa sebarang masalah.

“Yang menjadi isu ialah pengiktirafan kelayakan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook. 

Mohamad Hasan menegaskan kerajaan tidak ada masalah mengiktiraf jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.

“Selagi ia tidak menepati ciri tersebut, maka, ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan kebangsaan dalam membina perpaduan dalam masyarakat majmuk.

“Sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional. Kerana itu kita percaya, satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa.

“Kita lakukannya dengan mengambil kira agar standard kita tidak tersasar dari amalan terbaik antarabangsa,” jelasnya. 

Beliau menambah bahawa rakyat Malaysia bebas memilih sistem UEC jika tidak meyakini misi pendidikan nasional.

“Tetapi jika ada rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional itu, maka mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa akan menghalang.

“Tetapi janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional,” tegasnya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dedah lokasi rumah ibadat haram demi melawan pencerobohan tanah – Tamim

Next Post

Rakyat ternanti-nanti komen rasmi Menteri Pendidikan isu UEC

Related Posts