Penyatuan Melayu tidak bermakna tanpa pengisian jelas

BANGI, 17 JAMADILAKHIR – Seruan penyatuan Melayu yang semakin rancak perlu disertai dengan pengisian jelas bagi memastikan ia membawa makna, tegas Presiden Gabungan Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau menekankan bahawa keresahan masyarakat terhadap masa depan orang Melayu semakin ketara, lebih-lebih lagi dengan perpecahan yang terus berlaku dalam kalangan bangsa.

“Hari ini ramai pihak yang melahirkan kebimbangan tentang masa depan orang Melayu. Perpecahan yang ada menambah lagi kerisauan yang ada,” katanya.

Haji Aminuddin menegaskan bahawa walaupun laungan penyatuan semakin kuat, isu pengisian selepas penyatuan masih belum dibincangkan.

“Sebab itu suara yang menyeru kepada penyatuan orang Melayu semakin kuat kedengaran.

“Baik parti politik, NGO mahupun orang perseorangan semuanya mula menyuarakan isu penyatuan ini.

“Biasalah, manusia ini bila tertekan barulah masing-masing mula sedar,” katanya.

Menurut beliau, rakyat sudah penat dengan retorik berulang dan ingin melihat hala tuju jelas selepas penyatuan.

Haji Aminuddin turut mengingatkan bahawa orang Melayu pernah bersatu membentuk kerajaan, tetapi nasib bangsa dan agama masih tidak terbela.

“Kalau kita imbau ke belakang, Melayu sebenarnya pernah bersatu dan membentuk kerajaan.

“Tetapi apakah kerajaan ketika itu berjuang menaikkan Melayu atau diri sendiri?

“Kalau betul berjuang untuk agama dan bangsa, maka kenapa sehingga hari ini nasib Melayu dan agama semakin meruncing?,” soalnya.

Beliau turut membandingkan ketegasan bangsa lain dalam memperjuangkan kepentingan mereka.

“Mereka sanggup keluar dari kerajaan jika kehendak tidak dilayan, dan terus mendesak sehingga tujuan tercapai.”

Haji Aminuddin menegaskan bahawa pemimpin Melayu perlu berhenti bergantung pada slogan penyatuan semata-mata dan membentangkan pelan tindakan jelas untuk agama dan bangsa.

“Inilah sepatutnya semangat yang perlu ada kepada pemimpin Melayu. Jadi tidak cukup mengajak Melayu bersatu tetapi kena jelaskan apa perancangan mereka terhadap agama dan bangsa,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Kenapa tak buat laporan SPRM?” – Haniff Khatri persoal Rafizi

Next Post

Normalisasi antara negara Arab-Israel satu penghinaan – Dr Omar

Related Posts