BANGI, 17 JAMADILAKHIR – Normalisasi antara negara arab dengan Israel secara berterusan ketika rakyat Palestin berdepan genosid adalah satu penghinaan, kata pendakwah tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Dr Omar Suleiman.
Dalam temubual bersama media antarabangsa, Omar berkata langkah menormalisasikan hubungan dengan Israel sebelum ini sememangnya adalah penghinaan, apatah lagi apabila selepas mereka membunuh penduduk Gaza secara terang-terangan.
“Bukan sahaja normalisasi itu tidak dihentikan, malah diperhebatkan lagi ketika genosid sedang berlaku. Ini hanya membuatkan Israel menjadi lebih ganas.
“Ia hanya memberi keberanian kepada mereka untuk membunuh, memusnahkan kehidupan dan meneruskan projek fasis (penjajahan) mereka,” katanya kepada Al Jazeera.
Mengulas lanjut, Omar berkata, tindakan kejam yang terus berlaku di Gaza juga berpunca daripada sikap tidak ambil tahu terhadap pentadbiran apartheid, penjajahan dan pencerobohan secara terang-terangan Israel di bumi Palestin.
Tegas beliau, masyarakat global kini tidak boleh mengabaikan lagi kekejaman ini apabila puluhan ribu rakyat termasuk bayi dibunuh serta infrastruktur dimusnahkan.
Omar berkata, desakan perlu terus dibuat demi memastikan pihak yang bertanggungjawab melakukan genosid ini dikenakan hukuman.
“Kita selalu memuji keteguhan rakyat Palestin. Bagi membuktikan kita menyokong rakyat Palestin, kita perlu menyokong perjuangan mereka.
“Pastikan mereka yang bertanggungjawab atas kekejaman ini dihadapkan ke muka keadilan. Jika tidak, mereka hanya terus melakukan perbuatan itu.
“Keutamaan sekarang ialah bukan untuk menghantar bantuan kepada mangsa (Palestin) tetapi memastikan pelaku dijatuhkan hukuman,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi