BANGI, 17 JAMADILAKHIR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menggunakan peluang dalam program kerajaan untuk menerangkan pencapaian kerajaan supaya rakyat tahu kejayaan oleh pentadbiran hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat bagaimanapun akan berasa meluat sekiranya Perdana Menteri sendiri sentiasa bercakap tentang politik.
Beliau berkata, situasi ini hanya akan mendorong kepada komen-komen jelek dan maki hamun terhadap pemimpin dan kerajaan.
“Bila PM asyik cakap politik, orang itu salah, orang ini sakau, orang tak betul, orang itu begitu begini, orang itu telefon saya, orang itu jemput saya ke sana, pemimpin dunia mahu jumpa saya, orang ramai jadi meluat, maka timbullah komen jelik dan maki hamun serata alam,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau semalam.
Berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang meluahkan rasa kesal apabila sebahagian maklumat sebenar mengenai dasar dan pencapaian kerajaan tidak sampai kepada rakyat seperti diharapkan.
Terdahulu, Anwar ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 berkata, usaha kerajaan sering kali tenggelam kerana kandungan bersifat negatif lebih mudah mendapat perhatian di media sosial.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid kata ada 140 ikhtiar atau inisiatif baharu. Sebenarnya kalau kita kira 167 kesemuanya, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak.
“Apa yang sampai itu hanya ‘sampah’, sumpah dan maki hamun kerana ini negara demokrasi dan bebas… media sosial itu digunakan tidak untuk membina, tetapi untuk menghina,” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri adalah individu paling berpengaruh untuk menerangkan program-program baharu yang akan dilaksanakan Kerajaan Madani supaya maklumat sampai kepada orang ramai.
Justeru, beliau, sekiranya Anwar sendiri tidak menceritakan tentang kejayaan kerajaan, maka maklumat itu tidak akan tersebar dan menjadi tenggelam.
“YAB Datuk Seri sendiri kena ambil peluang dalam program-program kerajaan cakap benda-benda yang tenggelam itu supaya timbul.
“Tak perlu cakap politik memanjang dalam program kerajaan.
“Orang betul-betul nak tahu 167 program kerajaan PMX tu apa dia? Cuba cerita,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi