BANGI, 14 JAMADILAKHIR – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak kerajaan melakukan pembetulan terhadap kelompongan undang-undang dan penyeragaman prosedur supaya pihak berkuasa boleh bertindak lebih tegas dan berkesan dalam menangani gejala songsang yang semakin berani muncul secara terbuka.
Desakan itu muncul susulan penahanan 201 individu, termasuk 17 penjawat awam, di sebuah pusat spa di ibu negara kerana disyaki terlibat dalam kegiatan songsang. Namun, 171 yang ditahan dibebaskan akibat kelewatan prosedur melepasi tempoh 24 jam.
Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, perkembangan ini menunjukkan perlunya pihak berkuasa mengambil isu ini jauh lebih serius dan memperketat tindakan penguatkuasaan.
“Ini kerana undang-undang Malaysia sudah jelas menjenayahkan perbuatan liwat, seks luar tabii dan kelucahan melampau antara lelaki, sama ada suka sama suka atau sebaliknya.
“Fakta undang-undang menunjukkan kes seperti ini boleh disiasat dan didakwa tanpa keperluan wujudnya mangsa, khususnya di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.”
Justeru, apabila penolakan reman dikatakan akibat kelewatan melepasi tempoh 24 jam – ia adalah kelemahan prosedur, bukan kerana ketiadaan bukti.
“Kesilapan teknikal seperti ini tidak boleh berulang. PDRM, pendakwa raya dan Jabatan Agama Islam perlu menyusun semula koordinasi, SOP agar siasatan kes-kes sebegini tidak terjejas oleh kelemahan sistem dalaman,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, ISMA menyambut baik seruan JAWI untuk berganding bahu dengan NGO Islam dalam memperluas pendidikan masyarakat mengenai bahaya normalisasi nafsu songsang.
“Ini adalah isu akhlak dan ancaman kepada kestabilan institusi keluarga dan masyarakat.
“Syariah ialah asas kehidupan umat Islam di negara ini, dan mempertahankan akhlak masyarakat merupakan tanggungjawab kolektif sebagai sebuah ummah,” tegasnya.
ISMA komited bekerjasama dengan pihak berkuasa dan NGO Islam lain untuk memperkukuhkan pendidikan akhlak dan memastikan budaya yang menyalahi fitrah tidak diberi ruang dalam masyarakat Malaysia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi