Shamsul Iskandar hadapi empat tuduhan rasuah RM176,829.03

BANGI, 13 JAMADILAKHIR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas keempat-empat tuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka yang memakai baju batik warna cerah dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika prosiding dan menjawab “Faham puan, tidak mengaku bersalah, mohon bicara”.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsul Iskandar, didakwa bersetuju menerima untuk dirinya suapan berjumlah RM100,000 daripada Albert sebagai dorongan membantu syarikat ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Tertuduh didakwa melakukan melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta, YTL Majestic Hotel, No 5, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima suapan untuk dirinya iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik daripada Albert berjumlah RM14,580 atas tujuan sama di antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.

Mengikut pertuduhan ketiga, Shamsul Iskandar turut didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada ahli perniagaan itu bagi membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah pada 29 Januari 2024 di premis sama.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memperolehi suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 daripada Albert untuk tujuan serupa di antara 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024 di sebuah rumah di Presint 14, Putrajaya.

Bagi keempat-empat tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Shamsul Iskandar berdepan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mamdani ikrar tangkap Netanyahu jika lawat New York

Next Post

Usaha dedah lokasi rumah ibadat haram dapat sambutan komuniti setempat

Related Posts