BANGI, 13 JAMADILAKHIR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta Perdana Menteri membuktikan dakwaan mengenai kewujudan surat sokongan kelulusan projek yang dikatakan dihantar oleh seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan.
Beliau merujuk kepada pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat kelmarin berhubung dua surat berasingan membabitkan permintaan kelulusan projek oleh Exco Terengganu dan Kelantan.
Menurutnya, surat dari Exco Terengganu telah dibangkitkan secara jelas, termasuk ketika sesi soal jawab dengan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dan telah dibahaskan dengan panjang lebar.
Namun, katanya dakwaan mengenai surat Exco Kelantan tidak disebut secara terperinci.
“Manakala surat daripada Kelantan tidak disebut dengan jelas,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, tampil menafikan kewujudan sebarang surat sokongan projek daripada mana-mana Exco negeri itu.
Berikutan itu, beliau menggesa Perdana Menteri mengemukakan bukti.
“Nah, YAB Perdana Menteri, sila buktikan pula, siapa Exco Kelantan yang dimaksudkan itu? Takkanlah Perdana Menteri nak bohong pula kan?” tulisnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Perdana Menteri boleh dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama enam bulan dari Dewan Rakyat jika dakwaan tersebut didapati tidak tepat dan menjejaskan nama keseluruhan Exco Kelantan.
“Tapi kalau takdirnya terbukti maklumat Perdana Menteri tidak tepat, bolehkah beliau digantung enam bulan dari Dewan Rakyat kerana menjejaskan nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan keseluruhannya?”
“Tanya sahaja, jawapan semua orang sudah tahu,” katanya.
Ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, Selasa lalu, Anwar mendedahkan mengenai dua surat berasingan daripada Exco Kelantan dan Terengganu yang menggunakan terma memohon kelulusan bagi projek.
Beliau dilaporkan berkata, perkataan meminta kelulusan rasmi berbeza daripada surat sokongan daripada bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hanya memohon pertimbangan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi