NEW YORK, 13 JAMADILAKHIR – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tetap merancang melawat New York walaupun Datuk Bandar yang baharu, Zohran Mamdani, berikrar akan menangkapnya selaras dengan waran mahkamah itu.
“Ya, saya akan datang ke New York,” kata Netanyahu dalam satu temu bual maya bersama Forum Dealbook akhbar New York Times, semalam.
Apabila ditanya sama ada beliau akan berbincang dengan Mamdani, Netanyahu menjawab, “Jika beliau mengubah fikiran dan mengiktiraf hak kami untuk wujud, itu boleh menjadi permulaan perbualan.”
Mamdani, seorang sosialis Demokratik yang akan menjadi Datuk Bandar Muslim pertama dan pertama dari Asia Selatan di New York, berulang kali menyatakan menyokong hak Israel untuk wujud.
Namun, beliau enggan menyatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk menjadi sebuah negara Yahudi, dengan menegaskan tiada negara sepatutnya mempunyai “hierarki kewarganegaraan” berdasarkan agama atau faktor lain.
Mamdani berikrar akan mengarahkan Jabatan Polis New York menguatkuasakan waran tangkap terhadap pemimpin yang dikehendaki ICC, termasuk Netanyahu atau Presiden Rusia, Vladimir Putin.
ICC yang berpangkalan di The Hague tahun lalu, menyatakan bahawa mereka mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai Netanyahu bertanggungjawab terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam genosid Israel yang berterusan di Gaza.
Israel, Amerika Syarikat dan Rusia antara negara yang enggan menyertai ICC.
Kerajaan Persekutuan mengendalikan urusan imigresen dan pentadbiran Presiden Donald Trump mempertahankan sekutunya, Israel, termasuk mengenakan sekatan terhadap hakim serta pendakwa raya ICC.
New York merupakan kediaman kepada penduduk Yahudi terbesar di luar Israel serta lokasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tempat Netanyahu kerap menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan.
Melalui perjanjian negara tuan rumah, Amerika Syarikat sepatutnya mengeluarkan visa untuk urusan rasmi PBB. Namun pada September lalu, pentadbiran Trump menolak kedatangan Presiden Palestin, Mahmud Abbas.
Satu perjanjian gencatan senjata rapuh berkuat kuasa di Gaza sejak 10 Oktober lalu, melalui perantaraan Türkiye, Mesir dan Qatar, dengan sokongan AS.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu merangkumi pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin. Rancangan itu juga merangkumi usaha membina semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Israel membunuh lebih 70,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 171,000 orang dalam genosid di Gaza sejak Oktober 2023.
Bagaimanapun, pakar berpendapat angka sebenar kematian jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan pihak berkuasa Gaza, dengan anggaran mencecah kira-kira 200,000. – TRT WORLD
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi