BANGI, 12 JAMADILAKHIR – Pembebasan 171 lelaki warga tempatan selepas permohonan reman terhadap mereka ditolak Majistret susulan serbuan pusat spa dan kesihatan di Chow Kit kelmarin mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan dwi-sistem perundangan negara, kata Presiden Gabungan Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya.
Mengulas isu itu, beliau menegaskan keadaan sebegitu tidak akan berlaku sekiranya Malaysia tidak bergelut dengan struktur undang-undang yang terpisah antara syariah dan sivil.
“Ini semua lahir disebabkan kita mempunyai dwi-sistem perundangan; syariah dan sivil. Kedua-dua sistem ini sering menjadi punca pertikaian yang mana akhirnya dalam banyak kes, pihak Mahkamah Syariah akan kalah. Mahkamah Syariah sering dianggap kelas kedua dan sentiasa boleh dicabar,” katanya.
Aminuddin berkata, persoalan mengenai sejauh mana dua sistem itu boleh terus wujud secara selari perlu segera dijawab.
“Sampai bila ini harus berlaku? Sampai bila negara harus mempunyai dua sistem perundangan,” soalnya.
Dalam serbuan itu, 171 lelaki warga tempatan dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman terhadap mereka ditolak Majistret kerana permohonan dikemukakan lewat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebelum ini menjelaskan punca kelewatan tersebut.
“Sebab apa lewat? Tangkapan ramai. Proses nak dibuat satu persatu untuk dikelaskan. Permohonan reman lambat dibuat dan Majistret tolak.”
Daripada 202 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan, hanya 31 warga asing direman selama dua hari.
Aminuddin berkata, insiden itu menggambarkan bagaimana ketidakselarasan antara dua sistem undang-undang sering menimbulkan kekeliruan dalam proses penguatkuasaan.
“Untuk mengelakkan pertikaian ini, sudah sampai masanya untuk kerajaan memikirkan bagaimana untuk menharmonikan kedua-dua sistem perundangan ini agar akhirnya negara hanya mempunyai satu sistem perundangan sahaja,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu bukan sesuatu yang mustahil memandangkan negara pada asalnya hanya mempunyai satu sistem perundangan sebelum dipaksa menerima sistem penjajah.
“Ia bukan sesuatu yang mustahil dan bukan tidak pernah berlaku. Asalnya negara memang ada satu sahaja sistem perundangan tetapi dengan kemasukan penjajah, kita dipaksa menerima sistem mereka dan sehingga kini terpaksa berdepan dengan dua sistem yang saling bersaing. Ada juga yang mengambil kesempatan di atas kecelaruan sistem perundangan ini.”
Aminuddin turut menjelaskan bahawa beberapa pihak pernah memulakan usaha untuk menyelesaikan perkara tersebut namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Sebenarnya, usaha ini sudah pun dijalankan oleh beberapa pihak tetapi tidak ada yang mahu mengangkatnya. Oleh itu, kita minta agar kerajaan mengambil inisiatif untuk bawa isu ini ke Dewan Rakyat,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi