BANGI, 12 JAMADILAKHIR – Jabatan Peguam negara (AGC) mengarahkan kes kematian ahli Kadet PALAPES, Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Keputusan dibuat jabatan itu meneliti hasil laporan siasatan yang dibuka oleh PDRM semalam.
“Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil laporan siasatan, jabatan ini telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan selanjutkan oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan semalam.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan merujuk kepada siasatan kes bunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Sebelum ini, Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram.
Jenazahnya dikebumikan pada keesokan hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Runching Ulu di Semenyih.
Dalam pada itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam kenyataan berasingan menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika siasatan dijalankan.
Tegasnya, pihak universiti itu tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terlibat.
“UTM mengambil maklum keputusan AGC untuk mengklasifikasikan semula kes kematian Allahyarham Syamsul Haris.
“UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang, serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
UTM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi