BANGI, 11 JAMADILAKHIR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said enggan menjawab pertanyaan sama ada kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bakal dilanjutkan atau tidak.
Dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik dalam laman web Parlimen, Azalina memetik Peraturan 23(1)(h) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk tidak menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli.
“Selaras dengan Peraturan 23(1)(h) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Pertanyaan mengenai cadangan atau rancangan masa depan yang bersifat spekulatif tidak sesuai untuk dijawab secara khsus kerana ia melibatkan perkara yang ‘belum menjadi masalah’ atau bersifat ‘dimisal-misalkan sahaja’,” katanya.
Azalina berkata, keputusan mengenai sebarang pelanjutan kontrak pada masa akan datang akan dibuat berdasarkan penilaian prestasi, keperluan agensi dan pertimbangan yang sesuai pada masa yang berkenaan.
“Kerajaan komited memastikan SPRM beroperasi dengan berkesan dan akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat apabila tiba masanya,” ujar beliau.
Terdahulu, Rafizi mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada bercadang untuk menyambut kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi kali keempat selepas ini.
Rafizi turut mengingatkan bahawa kritikan mengenai penyambungan kontrak perkhidmatan Azam turut datang dari Timbalan Presiden parti Anwar sendiri.
Pada Mei lalu, Nurul Izzah Anwar yang sedang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR turut menyuarakan bantahan terhadap pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.
Beliau yang juga anak kepada Perdana Menteri menyifatkan pelantikan itu sebagai keputusan yang tidak dialu-alukan dan menyukarkan usaha membawa perubahan struktur dan budaya yang mendalam dalam institusi penting negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi