BANGI, 11 JAMADILAKHIR – DAP Sabah memutuskan untuk tidak akan mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri itu, termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Sabah lantikan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata DAP Sabah telah membentangkan keputusan itu dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) malam tadi yang membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Namun, katanya pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat.
“Kami telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada pengundi. Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan media di Facebook, hari ini.
Loke berkata, pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen PRN Sabah amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Berikutan perbincangan dan penilaian dalaman, katanya DAP akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama Perdana Menteri untuk mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan yang akan datang.
Dalam PRN Sabah pada 29 November lalu, DAP tewas di semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu enam DUN yang disandang parti itu di Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura serta Sri Tanjong, manakala dua adalah kerusi baharu, iaitu Tanjung Aru dan Kemabong.
Namun, DAP masih mempunyai wakil dalam politik Sabah menerusi dua Ahli Parlimen di Kota Kinabalu dan Sandakan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi