BANGI, 11 JAMADILAKHIR – Status sebagai suami atau ketua keluarga dalam kalangan lelaki yang ditahan kerana dikatakan terlibat dengan aktiviti songsang di ibu negara, Jumaat lalu amat membimbangkan.
Timbalan Pengerusi Muafakat Ilmuan Islam (MUIS), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, Allah sangat membenci kumpulan perosak keluarga dan masyarakat ini dengan al-Quran menyifatkan perbuatan songsang begitu sebagai golongan yang melampau.
“Firman Allah: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (Surah al-A’raf: 81),” katanya.
“Andai sekiranya Allah menyifatkan perbuatan songsang ini sebagai perbuatan yang terkutuk yang dibenci oleh Allah, maka mengapa perlu kita melakonkan perbuatan tersebut yang secara tidak langsung menjadi medium promosi dan normalisasi perlakuan mungkar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Malah beliau berkata, Rasulullah melaknat kumpulan manusia yang melakukan perlakuan songsang ini dalam hadis yang bermaksud: “Allah melaknat mereka yang mengamalkan amalan kaum Lut.” (HR Ahmad – dinilai Sahih li Ghairihi oleh al-Arna’ut)
Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral, yang terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit.
Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Dr Ahmad Sanusi berkata, amat menyedihkan kerana antara yang ditangkap adalah penjawat awam, termasuk guru, doktor bedah, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Selain itu, katanya perlakuan songsang begini memberikan impak negatif terhadap kesihatan manusia dan berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, kebanyakan pengidap HIV kini berpunca dari hubungan songsang.
Menurutnya, perubahan lanskap data pengidap HIV menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh negara dalam menangani gejala hubungan seks sejenis.
Barangkali, katanya inilah kebimbangan yang pernah dinyatakan oleh Baginda Nabi yang bersabda: “Antara perkara yang paling aku takuti (bimbangi) dikalangan umat aku adalah perlakuan kaum Nabi Lut.”
Sehubungan itu, katanya jika jelas perlakuan terkutuk ini dibenci oleh Allah, malah memberikan impak negatif kepada kesihatan manusia, maka tidak perlu unsur-unsur yang berupaya membawa kepada kemungkaran ini dipromosikan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi