TEL AVIV, 10 JAMADILAKHIR – Rakyat Israel berhimpun berhampiran kediaman Presiden Isaac Herzog di sini bagi membantah permohonan pengampunan yang dikemukakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu terhadap pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Ahli Parlimen pembangkang, termasuk anggota Knesset, Naama Lazimi, turut menyertai protes tersebut yang menuntut agar Herzog menolak permohonan itu.
Mengikut laporan akhbar harian The Times of Israel, semalam, penunjuk perasaan membawa plakad yang menyalahkan Netanyahu terhadap krisis politik Israel sambil melaungkan, “Kamulah pemimpin; kamulah yang bersalah.”
Seorang penunjuk perasaan memakai topeng wajah Netanyahu dan pakaian seragam penjara berwarna jingga bagi menonjolkan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapinya.
Perhimpunan itu diadakan dengan slogan “Pengampunan = Negara Pisang”, dengan peserta berdiri di belakang timbunan buah pisang yang dihiasi papan tanda bertulis “Pengampunan” sebagai sindiran terhadap permohonan itu.
Kes 1000, 2000 dan 4000
Protes tersebut berlangsung Ketika reaksi politik dan awam yang kuat terhadap langkah Netanyahu meminta presiden menamatkan perbicaraan yang berlarutan selama bertahun-tahun.
Terdahulu, ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, menggesa Herzog supaya tidak meluluskan pengampunan kecuali Netanyahu mengakui kesalahan dan berundur daripada kehidupan politik.
Netanyahu, 76, secara rasmi mengemukakan permohonan pengampunan semalam, tanpa mengakui kesalahan, walaupun undang-undang Israel mensyaratkan pengakuan kepada presiden boleh memberikan pengampunan.
Tiga kes rasuah terhadapnya termasuk Kes 1000 yang menuduh Netanyahu dan ahli keluarganya menerima hadiah mewah daripada ahli perniagaan sebagai balasan untuk layanan istimewa; Kes 2000 yang menumpukan kepada dakwaan urusan dengan penerbit Yedioth Ahronoth, Arnon Mozes, bagi mendapatkan liputan positif; dan Kes 4000 yang melibatkan dakwaan kelebihan peraturan diberikan kepada pemilik syarikat telekomunikasi Bezeq, Shaul Elovitch, sebagai pertukaran untuk liputan memihak di laman berita Walla.
Selain pertuduhan dalam negara, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada 21 November 2024 atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel membunuh lebih 70,000 penduduk Palestin dengan sebahagian besar wanita dan kanak-kanak dalam kekejaman di Gaza sejak Oktober 2023.
Negara itu turut memusnahkan hampir keseluruhan wilayah Gaza dan secara praktikal mengusir hampir seluruh penduduknya. — TRT World & Agensi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi