i-Guru gesa Kementerian Pendidikan tindak tegas guru terbabit aktiviti songsang

BANGI, 10 JAMADILAKHIR – Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa siasatan rapi dijalankan bagi mengesahkan perlakuan sumbang membabitkan warga guru yang ditahan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa di sebuah premis sauna ibu negara berkaitan aktiviti yang dikaitkan dengan  lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai pendidikan yang terbabit dengan aktiviti itu.

Katanya, kegiatan songsang LGBT tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana bertentangan dengan nilai dan budaya ketimuran, bahkan bertentangan dengan prinsip agama dan moral masyarakat.

“Tingkah laku penjawat awam, terutama warga guru perlu dijaga agar integriti dan kredibiliti sebagai kakitangan KPM dipelihara dan tidak mencemarkan profesion keguruan. 

“Hal seperti ini tidak boleh dikompromi dan KPM wajib mengambil tindakan tegas tatatertib terhadap guru -guru yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Dalam Ops Songsang yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Chow Kit, Jumaat lalu, seramai 201 pengunjung ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat yang dijadikan sarang buat lelaki gay melampiaskan nafsu songsang.

Antara yang ditahan ialah 17 penjawat awam, termasuk guru, doktor, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir dan diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.

Mohd Azizee juga meminta guru supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan akujanji sebagai penjawat awam serta mematuhi etika profesion sebagai seorang guru yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Katanya, i-Guru sentiasa komited untuk terus bekerjasama dan menyokong KPM dalam usaha mengekang budaya negatif di institusi pendidikan serta memastikan profesion perguruan  kekal disanjung tinggi, berintegriti dan bermaruah.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rakyat Israel protes, bantah permohonan pengampunan Netanyahu

Next Post

Bukan rombakan Kabinet, hanya isi tempat kosong – PM

Related Posts